Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
3 ekor ular kejutkan penduduk 2 daerah sejak semalam

Kemunculan tiga ekor ular secara berturut-turut di Batu Pahat dan Kota Tinggi, ternyata mengejutkan penduduk sekitar sekali gus membuatkan pihak berkuasa sedikit “sibuk” untuk menangkap reptilia berkenaan sejak semalam.

Koperal (Pertahanan Awam) Rahimah Daim daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kluang berkata pihaknya menangkap seekor ular tedung selar sepanjang dua meter di Taman Sri Mewah, dekat Simpang Renggam, pada pukul 6 petang semalam.

“Seramai empat anggota digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang menemui ular seberat 12 kilogram itu di bawah sebuah kenderaan yang diletakkan di bahu jalan. Kami mengambil masa selama setengah jam untuk menangkap ular tedung selar berkenaan kerana ia bertindak agresif,” katanya dalam satu kenyataan, di Johor Bahru, hari ini.

Bagaimanapun, ular tersebut berjaya ditangkap dan diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya, katanya.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri melakukan khidmat khas menangkap seekor ular sawa dan seekor ular berwarna hitam yang tidak dikenal pasti jenisnya, masing-masing di Daerah Kota Tinggi dan Batu Pahat, pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Rengit Pegawai Bomba Shah Rizal Aspar berkata kehadiran ular sawa sepanjang dua meter itu dikesan di dalam sebuah reban ayam di Jalan Lembing Tiga, Teluk Ramunia dekat Kota Tinggi, pada pukul 8.18 pagi tadi.

"Ular seberat lima kilogram itu berjaya ditangkap dengan menggunakan satu unit penjerut dan seterusnya dilepaskan di kawasan yang jauh daripada kawasan kediaman," katanya menerusi kenyataan berasingan, di sini.

Seekor ular hitam seberat 15 kilogram dan sepanjang 1.5 meter pula ditemui oleh seorang pemilik rumah di Jalan Laksamana, Parit Besar, dekat Batu Pahat pada pukul 9.42 pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Penggaram Pegawai Bomba Kanan II Zulfadli Ahmad berkata seramai lima anggota digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan daripada pemilik rumah berkenaan.

"Ular tersebut ditemui pemilik rumah di bawah bumbung tempat sembahyang penganut Buddha. Kita berjaya tangkap dengan menggunakan satu unit penjerut, lalu dilepaskan ke kawasan yang berada jauh daripada kawasan kediaman," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS