Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
KKM khuatir peningkatan kes susulan pergerakan semasa raya
Diterbitkan:  May 27, 2020 5:41 PM
Dikemaskini: 9:41 AM

Kementerian Kesihatan Mal;aysia (KKM) mungkin akan berlaku peningkatan kes Covid-19 susulan pergerakan orang ramai semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri, kata ketua pengarahnya, Dr Noor Hisham Abdullah.

“Ini susulan pergerakan orang ramai melalui aktiviti kunjung-mengunjung, merentas negeri dan pergaulan di kalangan masyarakat semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri ini,” katanya pada sidang media hariannya di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata berdasarkan maklumat yang diperolehi mendapati sebanyak 2,449,556 kenderaan telah diperiksa oleh pihak polis dari 16 Mei 2020 sehingga hari ini.

“Dalam tempoh yang sama, sebanyak 18,303 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung dan telah diarah berpatah balik oleh polis.

“Sekiranya masyarakat leka, tidak patuh dan engkar kepada SOP yang ditetapkan, KKM menjangkakan akan berlakunya peningkatan kes Covid-19 yang mendadak yang seterusnya boleh mengakibatkan gelombang di negara kita,” katanya.

Dr Noor Hisham sebelum itu mengumumkan bahawa hanya terdapat 15 kes baru yang dilaporkan sepanjang 24 jam yang lalu.

Katanya, daripada 15 kes itu, sebanyak lima kes adalah penularan tempatan di kalangan warganegara Malaysia.

“Oleh itu, masyarakat harus berwaspada dan tidak mengambil mudah situasi penurunan kes ini.

“Seperti yang KKM maklumkan sebelum ini, peperangan menghadapi virus Covid-19 ini masih belum tamat,” katanya.

Merujuk laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), beliau berkata, sebanyak 5,559,130 kes Covid-19 telah dicatatkan di seluruh dunia sehingga 26 Mei lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 348,610 kes kematian telah dilaporkan.

“Pandemik ini dilihat semakin serius dan masih jauh dari berakhir.

“Setakat ini, negara Malaysia telah menyumbang kepada 0.14 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dari seluruh dunia,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS