Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Annuar tak anggap pembangunan di Kg Baru penting - Khalid

Bekas menteri wilayah persekutuan, Khalid Samad kecewa dengan penjelasan menteri yang baru, Annuar Musa bahawa kerajaan persekutuan tidak mempunyai dana untuk pelan pembangunan Kampung Baru.

Bercakap kepada pemberita dalam sidang media di pejabat pusat khidmat Ahli Parlimen Shah Alam hari ini, Khalid berkata ia bukti kerajaan Persekutuan mengabaikan pembangunan Kampung Baru yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur itu.

"Walaupun saya kecewa dengan sikapnya tetapi hakikatnya saya tidak melihat ia sesuatu memeranjatkan kerana isu Kampung Baru ini memang telah terabai sekian lama di bawah pentadbiran Umno/BN.

"Menteri Wilayah yang baru pun datangnya dari partI yang sama, oleh kerana saya rasa sikapnya ialah sikap yang sebenar yang ada pada Umno yang tidak anggap soal pembangunan Kampung Baru ini sebagai isu penting," katanya kepada pemberita.

Pada 4 April, Annuar berkata pembelian keseluruhan tanah di Kampung Baru akan menelan hampir RM7 bilion dan pembangunan di kawasan itu adalah satu hal yang “tidak mudah” baik dari segi perundangan mahupun perancangan fizikalnya.  

"(Masalah) paling besar, siapa sebenarnya yang akan memajukan Kampung Baru?

“Kerana setakat ini, tak ada sebarang peruntukan, tak ada dana yang sangat besar yang diperlukan untuk membeli (tanah), kalau pun semua setuju (menjual tanah),” kata Annuar.

Bagaimanapun Khalid berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah menyelesaikan lebih separuh daripada kerja pembangunan dan lebih 60 peratus pemilik bersetuju untuk menjual tanah mereka.

"Itu amat mendukacitakan saya dan 60 peratus pemilik yang setuju untuk jual tanah merasa cukup kecewa dengan sikap kerajaan hari ini," katanya.

Sementara itu, beliau mempersoalkan kenyataan pemimpin-pemimpin Umno bahawa tawaran kerajaan PH kepada pemilik tanah di Kampung Baru sangat rendah.

"Dulu bila kita nak mulakan projek ini, Annuar mengatakan bahawa harga ditawarkan terlalu rendah, kononnya kes Kg Baru ini mudah sahaja. Tawarkan harga pasaran semua akan setuju.

"Tapi bila dia mengambil alih kuasa, bukan sekadar harga yang kita tawarkan dia tak mampu nak laksanakan, (kini) kata (kerajaan) tidak ada duit. Memang Kampung Baru tidak dapat dibangunkan sehingga PH kembali memerintah," katanya.

Untuk rekod, ketika Khalid menjadi menteri pemilik tanah di Kampung Baru ditawarkan RM850 bagi satu kaki persegi, namun dinaikkan kepada RM1,000 selepas mendapat kritikan pelbagai pihak.

Pelik Najib ada gambar suspek

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata beliau masih tidak dipanggil oleh pihak polis untuk memberi keterangan berhubung kes membabitkan bekas setiausaha politiknya yang ditahan berhubung aduan sebuah firma arkitek mengenai arahan pembangunan (DO) palsu.

Turut ditahan pada 18 Mei lalu ialah sepasang suami isteri bagi membantu siasatan berhubung aduan berkenaan.

"Saya belum dipanggil. Saya mendapati nama saya pun tidak disebut dalam kes ini.

"Bekas setpol saya pun hanya direman sehari sahaja. Saya juga diberitahu bahawa pasangan yang lagi satu masih disiasat," kata Khalid.

Khalid berkata beliau pelik bagaimana bekas perdana menteri Najib Razak memiliki gambar beliau bersama pasangan itu yang di ambil di majlis rumah terbuka yang dianjurkannya.

"Beratus-ratus orang datang ke majlis itu. Banyak mengambil gambar dengan saya termasuk pasangan itu. Tapi, saya pelik bagaimana Najib boleh dapat gambar tersebut.

"Malah, ketika setpol saya direman, saya sendiri tidak tahu identiti pasangan itu. Tapi Najib tahu sehingga dia kongsi gambar pasangan itu yang diambil bersama saya.

"Bila saya tanya Najib bagaimana dia tahu pasangan itu ditahan, dia diam sahaja. Mungkin pasangan itu geng dia," katanya lagi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Mohd Zakaria Ahmad sebelum inoi berkata ketiga-tiga mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS