Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib dilantik penasihat ekonomi? Berita palsu, kata PMO
Diterbitkan:  May 27, 2020 3:19 PM
Dikemaskini: 7:19 AM

Pejabat Perdana Menteri (PMO) menafikan laporan di beberapa blog mengenai pelantikan bekas perdana menteri Najib Razak sebagai penasihat ekonomi kerajaan, seperti yang tular di media sosial.

Artikel yang cuba melobi Najib untuk jawatan itu bertarikh 22 Mei.

“Pejabat Perdana Menteri atau PMO menafikan kesahihan artikel bertajuk ‘Najib sebagai penasihat ekonomi, bukan menteri kewangan atau perdana menteri’ seperti yang tular di media sosial.

“PMO menjelaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti dinyatakan dalam artikel tersebut,” kata Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam satu kenyataan.

Menurut artikel berkenaan, terdapat pihak-pihak tertentu yang memohon dan mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang baru untuk melantik Najib ke jawatan penasihat bagi merancakkan semula ekonomi negara yang dilanda wabak Covid-19.

Merujuk pemerintahan 22 bulan Pakatan Harapan (PH) yang pernah melantik tokoh veteran sebagai penasihat, artikel itu mencadangkan kerajaan Muhyiddin Yassin untuk mencontohi konsep tersebut dengan menjadikan Najib sebagai penasihat ekonomi negara.

Artikel yang memetik netizen yang tidak disebutkan nama mereka berkata tidak ada keperluan bagi menukar perdana menteri dan menteri kewangan kerana jawatan ini berada “di tangan yang betul” dan tidak sesuai untuk Najib.

Najib, yang berkhidmat sebagai perdana menteri dari 2009 hingga 2018 dan menteri kewangan dari 2008 hingga 2018, sedang berdepan dengan pelbagai tuduhan berkaitan dengan dakwaan penyelewengan dana 1MDB.

BN tumbang pada pilihan raya umum 2018 tetapi berjaya kembali berkuasa Mac lalu susulan pembelotan beberapa ahli parlimen Bersatu dan PKR.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS