Paling Popular
Terkini

PH telah mengenal pasti calon perdana menteri jika gabungan itu kembali menerajui kerajaan persekutuan, menurut Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad.

"Ya, sudah dan sedang (bincang tentangnya). Hanya satu jawatan perdana menteri, jadi kami hanya ada satu calon. Dia telah dipersetujui semua pihak," katanya kepada pemberita di pusat khidmat Parlimen Shah Alam, hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid berkata persetujuan telah dicapai dan perbincangan kini di peringkat perincian dan beberapa perkara tertentu.

"Dahulu (sebelum PRU14) kita tak pasti menang, (maka) perbincangan tidak secara terperinci. Kini kita yakin akan kembali berkuasa, jadi lebih bersedia (menerusi perbincangan awal)," kata anggota Parlimen Shah Alam itu.

Terdahulu, PH bersama-sama Warisan dan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan bersama berkata keutamaan mereka pada masa ini adalah mengembalikan mandat rakyat dengan keutamaan mengambil alih semula kerajaan.

Ia selepas pertukaran kerajaan pada akhir Februari lalu yang berpunca daripada keluarnya Bersatu dan sejumlah anggota Parlimen PKR daripada PH.

'Kini lebih mudah, pengkhianat sudah keluar'

Khalid berkata lagi, proses rundingan kini lebih mudah selepas tiada lagi pihak yang mempunyai "tafsiran berbeza" dalam soal peralihan kuasa antara Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim, yang sebelum ini dilihat sebagai punca utama masalah dalaman gabungan itu.

"Sekarang PH lebih mantap kerana golongan pengkhianat sudah keluar. Mereka yang memberi tafsiran berbeza seperti tidak ada persetujuan Anwar ambil alih dari Mahathir, sudah tiada.

"Sekarang persetujuan lebih tepat dan mempunyai sokongan semua pihak," katanya yang bagaimanapun tidak mendedah nama calon yang menurutnya telah dipersetujui itu.

Benarkan undi tidak percaya jika ada maruah

Pada masa sama, beliau berkata PH akan menggunakan cara yang berasaskan undang-undang untuk kembali menjadi kerajaan, termasuk menerusi undi tidak percaya.

"Ini bukan soal nak jawatan, tetapi ini usaha untuk mengembalikan kerajaan yang memperolehi mandat rakyat. Untuk itu, kita tidak akan berkompromi.

"Kalau Perdana Menteri Muhyiddin Yassin seorang yang bermaruah, perkara pertama beliau patut lakukan adalah membuktikan ada majoriti di parlimen.

Ditanya berhubung usul undi percaya yang dibawa Mahathir terhadap Muhyiddin sebelum ini, beliau kata bahawa Amanah akan menyokong penuh usul tersebut.

"Kita dimaklumkan mengenai usul tersebut dalam mesyuarat PH. Ia bukan pendirian peribadi Dr Mahathir. Kalau dia tidak bawa, mungkin kami yang bawa usul itu," katanya lagi.

Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Mohd Yusof menerima usul undi tidak percaya yang dikemukakan Mahathir terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Menurut kedudukan anggota Parlimen di sidang Dewan Rakyat 18 Mei lalu, terdapat 113 anggota Parlimen yang menyokong kerajaan, menandakan Muhyiddin hanya mempunyai majoriti dua kerusi Parlimen.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS