Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PULASAN | "Demikianlah padahal seorang sultan Melayu yang masyhur sedikit tahun dahulu sehingga jatuh... Patutlah orang-orang Melayu semua dalam Indonesia dan Semenanjung ini mengambil insaf di atas nasib seorang daripada sultannya yang telah terlampau percayakan belanda memegang segala pemerintahannya sehingga ianya dipecat dan jatuh.... Demikianlah juga telah berlaku kepada almarhum Yang Maha Mulia Sultan Hassan, tinggal lagi bagus sedikit tidak bankrap."

Untuk membincangkan demokrasi, tidak perlu selamanya memetik detik kelahiran Magna Carta pun. Ia sudah terlalu lama berlaku sedangkan daya ingatan bangsa terhebat pernah diciptakan tuhan - iaitu Melayu - ini sangat terhad pula.

Apa yang berlaku sebelum Langkah Sheraton pun misalnya sudah ramai yang lupa. Keadilan untuk Adib adalah salah satu daripada isu yang sudah tertanggal daripada ingatan kebanyakan kita.

Satu lagi ialah bagaimana isu pemandu mabuk yang menjadi 'mesin pembunuh' di jalan raya. Ia tiba-tiba tidak lagi menjadi indikator kepada kedudukan Islam di negara ini. Islam sudah tidak terancam.

Apa yang terancam sekarang? Mungkin jawatan-jawatan dalam agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan. Hal itu kerana jumlahnya semakin berkurangan sedangkan orang yang perlu dilantik masih ramai.

Terancamlah tu!

Petikan di pembukaan tulisan ini di atas ialah antara kandungan tulisan seorang tokoh hebat yang pernah ada di Tanah Melayu. Syed Sheikh Syed Ahmad al-Hadi nama dia. Beliau menuliskan hal berkenaan pada 15 Zulhijjah 1346.

Beliau menuliskan hal berkenaan dalam rencana dalam majalah al-Ikhwan di bawah tajuk Perkhabaran Yang Dahsyat.

Syed Sheikh bukanlah seorang ahli politik per se. Anak pasangan perempuan Melayu Melaka dan lelaki Arab itu asalnya seorang penulis, agamawan dan - paling penting - pemikir.

Cari jalan ubah keadaan

Satu daripada isu yang banyak menarik perhatian beliau ialah buruknya akhlak orang Melayu seperti hasad dengki, khianat, tamak haloba dan enggan bekerjasama menyelesaikan masalah.

Kepada golongan penguasa dan pemerintah, Syed Sheikh menyalahkan mereka kerana lebih banyak memikirkan kedudukan dan harta sendiri saja. Justeru pencerahan akal fikiran dalam kalangan orang bawahan terabai.

Kalau dalam bahasa kasar, mereka sentiasa sibuk memikirkan hal tembolok sendiri saja. Andai dalam bahasa semasa, bolehlah dikatakan golongan berkenaan selalu risau akan hal-hal dalam poket dan dompet masing-masing. Serakahnya tak pernah hilang.

Dari situlah beliau menggerakkan penanya untuk memberi pencerahan. Sama seperti kebanyakan tokoh besar dunia, beliau melihat ketidakadilan dan kebejatan berlaku sehari demi sehari. Antaranya disebabkan oleh penjajahan.

Maka Syed Sheikh menjadi seperti Syed Sheikh yang kita kenal sekarang.

Sebutlah nama besar lain pun. Boleh dikatakan gerakan pembaharuan dan pencerahan mereka asal-muasalnya bemula daripada kesedaran akan kehodohan keadilan yang berlaku di sekeliling. Daripada kesedaran moral itulah tokoh-tokoh besar itu mencari jalan - sesekali dengan memperjudikan nyawa sendiri atau keluarga - untuk mengubah keadaan.

Maka politik menjadi salah satu jalannya.

Ia adalah jalan - atau wadah - untuk mencari kehidupan yang lebih baik. Malangnya dari semasa ke semasa ada saja ahli politik yang tergamak melacurkan politik berkenaan mengikut nafsu serakah mereka.

Justeru kita melihat pada semua zaman ada tokoh atau pemimpin yang tidak segan-silu mempergunakan wadah yang ada untuk mengekalkan kuasa. Atau tidak kurang hodohnya - merampas kuasa.

Untuk mensakralkan rampasan kuasa itu maka pelakunya menyandarkan tindakan mereka kepada dua kalimah yang mujarab lagi sakti. Pertama: rakyat; dan kedua: demokrasi.

Ia - maksudnya rakyat dan demokrasi itu - sama seperti politik juga. Ketiga-tiganya menjadi perkakasan untuk mencapai matlamat sebenar iaitu keadilan dan meninggikan darjah moral manusia.

Namun sama seperti politik, kata rakyat dan demokrasi itu juga boleh diselewengkan semahu-mahunya bagi mencapai matlamat orang yang mengetepikan moral masing-masing.

Tanpa moral - atau akhlak - yang tinggi, segala perlakuan berkenaan tidak akan ditimbang di atas neraca yang adil. Ketika umat Islam diajar bahawa malu itu adalah salah satu cabang iman, sesetengah daripada kita pula mencampakkan sifat berkenaan ke lubang tandas untuk disalurkan jauh-jauh dari diri sendiri.

Makin larang makin kuat

Isu yang lebih besar di sini ialah, ia tidak saja melibatkan pemain dan pelaku songsang berkenaan semata-mata. Ia - sialnya - melibatkan ramai orang. Paling malang, ia juga terpalit pada agama yang kita sama-sama yakini iaitu Islam. Sedangkan Islam itu sendiri sangat mengutamakan akhlak atau moral.

Bukankah Nabi Muhammad SAW itu sendiri diutuskan kepada seluruh umat manusia untuk memperindahkan akhlak? Kerana itu ramailah orang politik menunjuk-nunjukkan rasa sayang kepada Muhammad dan Islam dalam kehidupan seharian.

Menayangkan secara langsung sembahyang di tengah malam misalnya, kan?

Perkembangan semasa menunjukkan bahawa politik itu tidak pernah berhenti. Pedulilah apa saja yang berlaku, waima Covid-19, politik tidak berehat. Sesekali adalah gesaan supaya berhenti berpolitik kerana negara sedang diancam wabak koronavirus. Tapi selalunya orang yang membuat gesaan itulah yang sebaliknya makin kuat berpolitik.

Barangkali kalau tiba waktu tiupan sangkakala menandakan datangnya kiamat pun mereka akan tekun berpolitik dan merangkak mencari kuasa.

Apakah kesan yang lebih menggerunkan daripada segala hal yang berlaku ini? Iaitulah aspek moral - atau kalau kamu mahu kelihatan Islamik, gunakan istilah akhlak - sedang diperjudikan.

Ketika agama menyarankan agar politik itu diamalkan demi keadikan dan memperbaiki akhlak, sebaliknya kita sekarang gigih berpolitik dengan membenam aspek itu jauh-jauh ke dasar longkang.

Ketika Islam itu mengajar umatnya mengenai nilai yang baik dalam segenap segi, kita pula sibuk berpolitik dengan menggadaikan akhlak demi bergayut pada kuasa.

Kemudian datanglah jalan untuk bertenggek pada kuasa. Dikopaklah pintu belakang dan ditebuk akan atap rumah lalu seorang demi seorang meratah jawatan yang dianugerahkan.

Demokrasi? Ia tidak mati kerana sudah ada dalil yang mensakralkan perilaku tersebut. Moral atau akhlaknya? Pun ada. Ia sedang 'mengharum' dalam pelimbahan.

Kerana itu apabila datangnya detik Syawal ini, kelaziman baru yang tidak boleh kita ketepikan ialah: tidak lagi memberikan kemaafan sewenang-wenangnya kepada ahli politik.

Kepada mereka yang khianat, gagal dan mengecewakan amanah yang diberi - selepas mereka merayu-rayu dan bermadah sebelum ini - sudah tentu tidak semudah itu kita memberikan kemaafan. Pedulilah jika mereka melacurkan sekali lagi perkataan rakyat dan demokrasi itu.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang bertatih menulis panjang-panjang serta berbelit-belit kerana dia mendapat tahu, dengan cara itu mungkin suatu hari nanti dia boleh dilantik menjadi duta khas negara.

Tulisan ini tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS