Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pegawai bank lulus pemindahan AS$700j dana 1MDB kepada Jho Low dibicarakan
Diterbitkan:  May 26, 2020 2:41 PM
Dikemaskini: 6:41 AM

Seorang pegawai bank Coutts & Co yang meluluskan pemindahan AS$700 juta daripada 1MDB kepada akaun yang dikawal ahli perniagaan Low Taek Jho telah dihadapkan ke mahkamah di Geneva, Switzerland, menurut laporan Bloomberg.

Menurut laporan itu, pendakwa bertindak ke atas lelaki berusia 52 tahun itu, yang hanya dirujuk sebagai "A", sebahagiannya atas peranannya dalam meluluskan transaksi itu.

Low dan sekutunya telah memberi gambaran salah berkenaan syarikatnya yang berpangkalan di Seychelles, Good Star Ltd, sebagai subsidiari kepada Petrosaudi International, iaitu syarikat yang membuat usaha sama dengan 1MDB.

A, yang dahulunya bertugas sebagai pegawai pematuhan di bank itu, dilihat telah menerima justifikasi yang diberikan walau hakikatnya dana 1MDB tersebut dialihkan ke syarikat Jho Low.

"Walaupun merupakan syarikat tidak diketahui yang didaftar di Seychelles dengan rekod yang terhad, Good Star merupakan sebuah firma pelaburan yang dipilih 1MDB untuk melabur, menurut penjelasan Low.

"Selain itu, kata Low lagi, dia mempunyai hubungan rapat dengan raja dan perdana menteri. Deposit itu kemudiannya diluluskan," kata laporan itu.

Laporan itu memetik kertas pendakwaan yang melampirkan transkrip emel A bertarikh 2 Oktober 2009.

Menurut emel itu: "Sila nyahsekat akaun 11116073 Good Star Ltd. Usaha wajar (due diligence) setakat ini baik dan kita mempunyai bukti mencukupi bahawa pembayaran itu betul dan sah."

Laporan itu turut memetik komen pendakwaan bahawa untuk kesilapan itu dan yang lain, "kesalahan tertuduh A cukup berat".

Pada 2017, Coutts & Co dikenakan denda sebanyak AS$6.5 juta.

Di bawah usaha sama, 1MDB pada masa itu dijangka menyuntik AS$1 bilion bagi aset yang ditawarkan Petrosaudi, yang mana nilai syarikat itu sendiri dipersoalkan.

Apabila 1MDB membuat transaksi itu, AS$300 juta pergi ke usaha sama tersebut tetapi baki AS$700 juta dialihkan kepada Good Star Ltd.

Bekas perdana menteri Najib Razak dan Low merupakan individu utama dalam skandal 1MDB yang melibatkan sistem kewangan serata dunia.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menjangka sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion diselewengkan daripada 1MDB.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS