Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas pesakit Covid-19 elak kunjungan sepanjang Syawal

Walaupun kelonggaran diberikan kepada umat Islam untuk menziarahi sanak saudara pada hari pertama sambutan Aidilfitri semalam, namun tidak bagi bekas pesakit Covid-19, Reza Huzairi Zainuddin yang membuat keputusan tidak menerima sebarang kunjungan sepanjang Syawal kali ini.

Walaupun disahkan bebas daripada wabak itu kini, namun beliau mengambil langkah berjaga-jaga yang amat ketat demi keselamatan diri, keluarga dan sanak saudara yang ingin menziarahinya.

"Untuk kunjungan tidak ada terutama saya adalah bekas pesakit Covid-19, masih ada rasa takut bila berada di tempat yang sesak, ramai orang, jadi saya tidak benarkan mana-mana kunjungan, walaupun abang saya sekalipun yang tinggal berdekatan," katanya.

Berkongsi pengalaman menyambut Syawal dalam norma baru, Naib Presiden Kanan Modal Insan Kumpulan UDA Holdings Berhad ini berkata, 'kunjungan online’ (dalam talian) menjadi pilihan yang ada kini untuk merapatkan siraturahim.

Pada awal pagi semalam, beliau menghubungi ibunya untuk mengucapkan Selamat Hari Raya dan "bermaaf-maafan" menerusi panggilan video, selain menjadi imam ketika menunaikan solat Hari Raya di rumahnya.

Bagi Reza Huzairi, 41, yang dihubungi Bernama TV melalui perkhidmatan skype hari ini, berpendapat tahap kepatuhan orang ramai semasa mengunjungi rumah sanak saudara pada Syawal pertama semalam, masih rendah.

Beliau bimbang ini akan mewujudkan ‘kluster raya’ memandangkan Aidilfitri disambut selama sebulan.

"Berkemungkinan mereka beranggapan tak pernah kena dan takkan kena virus ni, nasihat saya yang pernah terkena wabak ni, berjaga-jagalah kita masih belum bebas daripada wabak ni, amalkan normal baharu dengan sentiasa jaga jarak sosial, mengelak berada dalam kesesakan orang ramai, pemakaian pelitup muka dan sentiasa menjaga kebersihan diri," katanya.

Reza, yang disahkan positif Covid-19, telah dirawat di wad isolasi Hospital Sungai Buloh selama 11 hari sebelum dibenarkan keluar pada 14 Mac lepas.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS