Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wong Chen nafi arah Willie Mongin 'akur' dalam perbicaraan PAC isu dana GST

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen menafikan dakwaan bekas rakan separtinya, Willie Mongin bahawa beliau diarahkan oleh Wong untuk akur dengan kehendak parti dalam perbicaraan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai dana GST sebanyak RM19 bilion yang akan dipulangkan sebagai bayaran balik.

"Willie menuduh bahawa saya mengarahkannya (dalam prosiding PAS mengenai kutipan GST bernilai RM19 bilion) dan 'membiarkan supaya DAP mengendalikannya'.

"Pertama, saya tidak pernah mengarahkan Willie untuk tidak menjalankan tugasnya sebagai anggota PAC. Sememangnya, saya tidak boleh dipersalahkan kerana sikap berdiam diri beliau dan prestasi yang tidak memuaskan sebagai anggota PAC.

“Walhal, saya masih ingat bahawa beliau selalunya berdiam dalam pendengaran PAC dan rekod awam bagi semua pendengaran PAC beliau adalah buktinya," kata Wong kepada Malaysiakini.

"Kedua, dia berada bersama kem Azmin dan hubungan saya dengan Azmin telah begitu baik sejak 2016. Jadi mengapa penyokong tegar Azmin perlu mendengar arahan daripada saya?

"Ketiga, kedudukan saya dalam perbicaraan GST bernilai RM19 bilion telah secara rasmi direkodkan dalam hansard. Saya boleh katakan bahawa saya merupakan anggota PAC yang paling lantang dalam perbicaraan ini," katanya.

Wong menambah bahawa tuduhan yang mengatakan dia mengarahkan Willie untuk berdiam diri tidak selari dengan pandangannya yang lantang yang juga direkodkan.

"Saya mengharapkan Willie menarik semula komennya mengenai saya di hantaran FB beliau secara terbuka dan memohon maaf kepada saya," katanya.

Pada bulan Ogos 2018, Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng pada mulanya mendakwa di Parlimen bahawa kerajaan BN sebelum ini "merompak" dan mencuri RM19.4 bilion yang sepatutnya untuk pembayaran balik GST.

Bagaimanapun, pada Julai 2019, PAC melaporkan bahawa tiada dana dari kutipan hasil GST yang hilang.

Willie Mongin.

Willie menjadi wakil rakyat di parlimen Puncak Borneo sebagai anggota PKR, tetapi sejak meninggalkan parti itu dan menyertai Perikatan Nasional, beliau memegang jawatan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Dalam hantaran Facebook bertajuk Is RM19 billions GST money really stolen?(“Adakah wang GST bernilai RM19 bilion benar-benar dicuri?”), beliau mengatakan bahawa dirinya tidak gembira ketika berkhidmat sebagai ahli PAC.

“Hakikatnya wang itu tidak pernah dirompak oleh Umno atau (bekas perdana menteri) Najib (Abdul Razak). Wang itu digunakan untuk tujuan kerajaan dan direkodkan dengan betul. Saya memberitahu Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), ketika saya menjadi anggota, untuk memberitahu perkara yang benar.

"Tetapi Wong Chen menyuruh saya akurkan saja (toe the line) dan kata kepada saya “biarkan DAP kendalikannya” dan kita harus menyokong kerajaan hari ini," kata Willie.

Willie mendakwa bahawa dia disingkirkan dari PAC kerana bertekad untuk memberitahu "perkara sebenar".

"Saya tidak menyesal dipecat dari PAC kerana jawatan itu tanpa gaji dan imbuhan, tetapi yang paling saya menyesal adalah kita (PKR) dari parti reformasi, yang menegakkan keadilan, memerangi kleptokrasi, bercakap tentang ketelusan dan kebertanggungjawaban dan tetapi kita tidak mempraktikkan apa yang disampaikan,” kata Willie dalam hantarannya.

Bekas perdana menteri Najib berkongsi hantara Willie itu, mengatakan bahawa ia merupakan contoh bagaimana Pakatan Harapan membuat tuduhan palsu terhadapnya dan BN.

“Sehingga kini, Guan Eng masih terlepas apa-apa tindakan setelah dia sah membohong dalam Dewan Rakyat bahawa saya sudah rompak duit GST RM19.2 bilion,” kata Najib.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS