Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
K'jaan disaran hantar pekerja kena buang ikuti latihan kemahiran baru

Kerajaan disarankan supaya menghantar pekerja yang kehilangan pekerjaan susulan kesan daripada krisis Covid-19 untuk program latihan semula dan kemahiran baru supaya mereka yang terjejas dapat bekerja sendiri.

Menurut pakar ekonomi Prof Barjoyai Bardai, ia merangkumi bidang seperti ekonomi digital, revolusi industri 4.0 (IR4.0), kepintaran buatan (AI), pengaturcaraan kod komputer (coding) dan membina aplikasi.

“Lepas mereka berlatih, nak 70 peratus daripada mereka ni tak balik ke alam pekerjaan.

“Kita mahu mereka bekerja sendiri dan jadi usahawan. Ia perlukan satu aspek latihan dengan dedahkan mereka mengenai aspek perniagaan dan aspek keusahawanan.

“Jadi mereka kena ada pemikiran usahawan untuk sentiasa mencari peluang dan untuk mewujudkan perniagaan yang berdaya maju,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Prof Barjoyai Bardai.

Sebelum ini, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dilaporkan menjangkakan, pemberhentian pekerja akan terus berlaku selepas perayaan Aidilfitri susulan banyak majikan terjejas dengan kesan ekonomi daripada wabak Covid-19.

Pengarah Eksekutifnya Shamsuddin Bardan dipetik FMT berkata jumlah mereka yang terjejas dianggarkan lebih dua juta, termasuk lepasan universiti dan 610,000 yang menganggur sebelum Mac lalu.

Barjoyai yang juga pensyarah dari Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak berkata, keadaan itu tidak mengejutkan kerana perkara yang sama dijangka akan tetap berlaku meskipun tanpa wabak koronavirus.

“Tapi ia (kehilangan pekerjaan) akan berlaku beransur-ansur (jika tanpa Covid-19) kerana dianggarkan apabila (revolusi industri) IR 4.0 dilaksanakan, banyak kerja-kerja yang dulu asalnya wujud khususnya berkaitan dengan kerja perkeranian yang rutin, yang boleh ditukar dengan teknologi, tidak diperlukan lagi disebabkan (kehadiran) aplikasi teknologi dan peralatan,” katanya.

Gambar hiasan: Kereta pandu sendiri.

Beliau berkata, kerajaan perlu membiayai kos program kemahiran baru dan latihan semula yang memerlukan sekurang-kurangnya tempoh enam bulan.

Katanya, ia akan memakan kos yang besar, tetapi ia akan membawa pulangan pelaburan jangka masa panjang.

Jelasnya, selain melalui kerajaan, ia juga boleh dibiayai melalui Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) iaitu bergantung kepada caruman, kaedah pinjaman seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atau pun menggunakan sistem pinjaman bank.

Tambahnya, jalan jangka pendek seperti melanjutkan tempoh moratorium pinjaman dan memberi bantuan kewangan secara one-off kepada mereka yang terjejas bukan langkah terbaik.

Menurutnya, sekiranya kerajaan mampu memberikan bantuan kewangan tersebut kepada dua juta pekerja yang terjejas, ia akan memberi tekanan besar.

Utamakan pekerja tempatan

Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menegaskan supaya majikan mengutamakan pekerja tempatan dan tidak bergantung kepada warga asing.

Presidennya Abdul Halim Mansor berkata, ia sebagai langkah mengurangkan jumlah pengangguran di negara ini.

Beliau turut memberi contoh Pasar Borong Kuala Lumpur yang kini memerlukan pekerja tempatan susulan kebanyakan pekerjanya yang majoritinya warga asing, tinggal di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di situ.

“Kami rasakan langkah-langkah harus diambil pihak majikan demi menyokong hasrat kerajaan iaitu dengan utamakan pekerja tempatan dan kurangkan kebergantungan pekerja asing.

“Sebaik mungkin hantar semua pekerja asing pulang agar ruang kerja kosong yang ditinggalkan oleh pihak pekerja asing itu boleh diisi oleh pekerja tempatan,” katanya sambil menyifatkan kenyataan MEF itu menimbulkan situasi panik.

Beliau mencadangkan supaya tempoh moratorium pinjaman dilanjutkan tetapi dihadkan kepada mereka yang terjejas sahaja.

“Bagi mereka yang masih tidak bekerja sepenuhnya, mereka ini berhak mendapat moratorium dan dilanjutkan sebagaimana yang perlu untuk mereka,” katanya. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS