Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'RUU bantuan Covid-19 dianggap tak penting, dibentang Julai' - Syahredzan
Diterbitkan:  May 23, 2020 12:01 AM
Dikemaskini: 4:03 PM

Peguam Syahredzan Johan membidas rancangan Putrajaya untuk membentangkan draf rang undang-undang (RUU) bagi mengurangkan kesan wabak Covid-19 hanya pada Julai depan.

Setiausaha politik kepada pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang memaklumkan bahawa RUU yang diusulkan itu hanya akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat berikutnya, empat bulan sejak pertama kali kerajaan mengumumkan pelbagai tahap perintah kawalan pergerakan yang sedang berlangsung.

"RUU 'bantuan sementara' (bagi kurangkan kesan Covid-19) akan dibentangkan empat bulan selepas PKP kali pertama diumumkan dan akan dikuatkuasakan hanya enam bulan setelah PKP bermula.

"Ini memang biasalah (tipikal) kerajaan Muhyiddin-Azmin.

"Tidak ada langsung rasa keperluan mendesak apabila bersentuhan hal-hal rakyat," katanya pada satu hantaran di Facebook malam ini.

"Tindakan segera hanya ditunjukkan dalam membuat pelantikan GLC," katanya mengkritik siri pelantikan politik, beberapa pemimpin negeri dan MP PN.

Syahredzan mengulas kenyataan Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan (gambar, atas) awal hari ini bahawa rancangan RUU yang diusulkan juga memerlukan pindaan beberapa undang-undang dan semua kementerian telah diperintahkan untuk mengenal pasti perundangan yang relevan pada 28 Mei.

Terdahulu, bekas menteri undang-undang era PH, Liew Vui Keong, turut menyoal langkah untuk hanya membentangkan RUU dan pindaan yang diperlukan pada bulan Julai dan bukan pada sesi 18 Mei lalu yang dipendekkan untuk hanya untuk sesi titah Yang di-Pertuan Agong.

Sesi Mei pada mulanya dijadualkan untuk bersidang hingga 26 Jun. Bagaimanapun, Takiyuddin sebelum ini berkata dengan aturan baru mesyuarat, Dewan Rakyat akan bersidang selama 15 hari mulai 13 Julai.

Perintah kawalan pergerakan telah dikuatkuasakan sejak 18 Mac dan setelah beberapa lanjutan, ia kini dalam tempoh PKP bersyarat sehingga 9 Jun.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS