Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Plaza Tol Skudai sesak 2km, polis ketatkan pemeriksaan

Trafik lebuh raya di Plaza Tol Skudai dilaporkan sesak sehingga dua kilometer hari ini ekoran peningkatan mendadak jumlah kenderaan yang menggunakan laluan itu.

Menurut jurucakap polis, kesesakan di situ bermula sejak jam 9.30 pagi tadi lagi.

“Selain memantau jumlah penumpang dalam setiap kenderaan, kami juga menasihatkan supaya tiada cubaan merentas negeri dibuat supaya mereka tidak dikompaun dan diarah berpatah balik semula ketika sampai di sempadan Johor nanti,” katanya seperti dipetik BH Online.

Memburukkan lagi kesesakan, kenderaan juga harus melalui pemeriksaan di sekatan jalan raya polis di kedua-dua arah lebuh raya.

Di sekatan berkenaan, pengguna akan diperiksa bagi memastikan setiap kenderaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Menurut polis, ketika disoal, kebanyakan pengguna jalan raya memberikan alasan merentas daerah, membeli-belah serta bertugas, manakala bas pula tidak membawa penumpang dan hanya mahu pulang ke depoh masing-masing.

Perjalanan rentas negeri dilarang sejak penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 18 Mac lalu.

Bagaimanapun, menjelang Aidilfitri yang dijangka disambut lusa, semakin banyak kenderaan dilaporkan cuba merentas negeri menerusi laluan lebuh raya utama seluruh negara.

Semalam sahaja, sebanyak 2,539 kenderaan yang cuba merentas negeri telah diarah berpatah balik.

Sementara ketika dihubungi, Ketua Kecemerlangan Operasi Plus Malaysia Berhad (Plus), Mohd Yusuf Abdul Aziz, menjelaskan sebenarnya tiada peningkatan ketara dalam aliran trafik di lebuh raya kendalian mereka di seluruh negara.

Gabungan trafik bercampur

Katanya, trafik harian semasa di lebuh raya Plus mengikut rekod syarikat konsesi itu adalah kira-kira 900,000 kenderaan.

Jumlah itu, katanya, adalah lebih rendah berbanding rekod trafik di musim perayaan, malah lebih rendah daripada trafik harian biasa.

“Kalau ikut keadaan tahun-tahun lepas, kita pernah ada sampai hampir dua juta kenderaan di lebuh raya.

"Pada hari biasa pun kalau tak ada perayaan, trafik kami dalam lingkungan 1.6 juta kenderaan. Jadi, ia memang bawah daripada paras hari biasa,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Kata Yusuf, Plus percaya barisan panjang di sekatan jalan raya polis adalah terdiri daripada trafik bercampur, memandangkan lokasi terbabit selalunya di kawasan bandar dan menjadi laluan penduduk setempat untuk berulang-alik secara harian seperti untuk ke tempat kerja.

Namun, dia tidak menolak kemungkinan wujud pengguna lebuh raya yang mengambil kesempatan untuk merentas negeri melalui laluan tersebut.

Jelas Yusuf lagi, terdapat tiga kawasan sekatan yang dibuat di tengah-tengah lebuh raya, iaitu di Serenia City, Southville dan juga di Tanjung Malim - kesemuanya di kawasan sempadan Selangor dengan negeri lain - yang dikatakan mengalami barisan kenderaan yang panjang.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob memberi amaran bahawa bermula hari ini, pengguna jalan raya yang mahu merentas negeri tanpa kebenaran bukan saja akan diarah berpatah balik, tetapi dikompaun serta-merta di sekatan jalan raya berkaitan.

Berdasarkan peruntukan sekarang, mana-mana pemandu yang ditahan kerana melanggar SOP rentas negeri kini boleh dikenakan kompuan RM1,000 dan ia perlu dibayar dalam tempoh dua minggu dari tarikh ia dikeluarkan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS