Kerajaan perlu memastikan jaminan perkerjaan dilindungi ketika kemelesetan ekonomi akibat wabak Covid-19, kata Daim Zainuddin.
Mengambil maklum kadar pengangguran semakin meningkat sejak Mas, bekas menteri kewangan menjangkakan keadaan akan menjadi bertambah buruh.
"Bagi saya, antara isu utama yang perlu di beri perhatian serius adalah isu pengangguran," katanya pada wawancara yang dihantar ke beberapa organisasi media.
"Jumlah yang tidak bekerja bulan Mac naik 17 peratus, dan saya jangka angka ini akan naik lagi. Lagi beberapa bulan, 51,000 graduan akan keluar dari universiti tempatan, macam mana nasib mereka kelak? Sudah tentunya sukar mendapat kerja," katanya.
Daim memberi amaran hal ini tidak bagus untuk kestabilan sosial dan ekonomi, katanya,"kadar kemiskinan juga akan bertambah."
"Polisi kerajaan mesti memastikan para peniaga tidak menggulung tikar dan membuang pekerja," jelasnya.
Menurut Daim, Malaysia tidak dapat lari daripada kemelesetan ekonomi tahun ini kerana sebagai negara perdagangan, ia bergantung terhadap prestasi memberangsangkan ekonomi utama di dunia.
Beliau menunjukkan bahawa Amerika Syarikat, ekonomi terbesar di dunia, telah mengalami kemelesetan dengan ekonominya menguncup pada kadar tahunan sebanyak 4.8 peratus pada suku pertama, yang merupakan yang tertinggi sejak 2008.
AS juga telah merekodkan 33.5 juta orang mengemukakan permohonan bantuan pengangguran dalam tujuh minggu terakhir hingga 7 Mei, yang merupakan kadar pengangguran sebanyak 15.5 peratus.
Daim menyifatkan hal ini sebagai "tahap era kemelesetan."
China juga sedang mengalami kegawatan, katanya dengan ekonomi negara itu menguncup sebanyak 7 peratus dalam suku pertama tahun ini, yang pertama sejak 1992.
"Malaysia juga tidak terkecuali. Kerajaan meramalkan kadar pertumbuhan keluaran dalam negara kasar(KDNK) akan meleset sekurang-kurangnya 2 peratus tahun ini. Andaian saya ialah angka tersebut sepatutnya lebih besar.
"Kita mesti ingat bahawa PKP hanya bermula pada dua minggu terakhir bulan Mac, tetapi hampir kesemua sektor ekonomi sudah terkesan teruk," katanya lagi.
Daim menunjukkan banyak syarikat dan perniagaan sedang berjuang untuk terus bertahan, dengan 68 peratus syarikat melaporkan pendapatan sifar selama PKP.
Beliau berkata kehilangan pendapatan, terutama bagi PKS, akan menyebabkan pengangguran yang lebih tinggi yang bermaksud permintaan di pasaran akan berkurangan.
"Pengangguran akan menjadi lebih tinggi. Akhirnya, jumlah rakyat yang boleh berbelanja berkurangan. Peniaga akan terjejas. Jika eksport pun tidak menggalakkan, jumlah pengguna bertambah kecil, dan jika peniaga tidak melabur, bagaimana ekonomi hendak berkembang?
"Kutipan hasil cukai kerajaan akan lebih rendah. Bagaimana kita hendak membiayai perbelanjaan dan pembangunan negara?" Soalnya.
'Lakukan apa saja demi rakyat'
Pada 4 Mei, kerajaan mengumumkan bahawa kebanyakan sektor ekonomi akan diizinkan untuk dibuka semula di bawah PKP bersyarat kerana negara mengalami kerugian sebanyak RM2.4 bilion sehari di bawah perintah kawalan pergerakan.
Daim berkata, ruang fiskal kerajaan mesti cukup kuat untuk menangani krisis itu, sambil menambah bahawa kerajaan perlu mengeluarkan lebih banyak perbelanjaan.
Walaupun mengumumkan pakej rangsangan sebanyak RM260 bilion, beliau berkata suntikan fiskal langsung oleh kerajaan hanya RM35 bilion atau sekitar dua peratus daripada KDNK ,.
"Ini kecil untuk memberi apa apa kesan kepada rakyat dan peniaga.
"Saya percaya kerajaan mampu menghadapi defisit yang lebih tinggi untuk membantu rakyat, terutamanya untuk memastikan rakyat tidak hilang kerja, dan syarikat tidak bankrap. Apabila ekonomi pulih, kita boleh menurunkan semula defisit tersebut," katanya.
Daim yang berkhidmat sebagai menteri kewangan dari 1984 ke 1991, berkata kerajaan telah melakukan langkah berkenaan beberapa kali sebelum ini ketika krisis kewangan oada 1980an, 1998 dan 2008.
"Kita tak boleh terlampau taksub mengenai defisit ini sampai tidak mahu berbelanja kerana takut defisit naik. Fokus utama kita adalah untuk menyelamatkan rakyat. Kita mesti lakukan apa saja untuk rakyat, isu defisit ini kita selesaikan bila ekonomi pulih kelak," katanya lagi.
Daim berkata, kerajaan mengalami defisit fiskal selama 23 tahun berturut-turut sejak krisis kewangan Asia 1997/1998.
Ini menunjukkan bahwa tidak banyak simpanan yang dikumpul oleh kerajaan walaupun katanya, terdapat sejumlah dana amanah yang dapat digunakankan.
Menurut Daim, antara pilihan yang ada kepada kerajaan adalah supaya Petronas menyumbang sama ada melalui cukai pendapatan petroleum (Pita) dan pembayaran dividen yang lebih tinggi tetapi mengambil maklum dengan harga minyak yang rendah, hal ini suatu yang mencabar.
Kerajaan juga, katanya dapat memberi keutamaan dan menyusun semula perbelanjaan mereka.
Menurutnya lagi, kerajaan boleh meneroka peningkatan pendapatan, antara lainnya melalui penyenaraian aset GLC, pelupusan beberapa aset dan penswastaan.
Daim turut mencadangkan perubahan dasar cukai, menganjurkan untuk kembali kepada GST tetapi pada kadar lebih berpatutan dengan pelaksanaan yang lebih baik.
"Kerajaan boleh memperbaiki sistem percukaian. Masalah GST adalah ianya dikenalkan pada kadar yang tinggi, duit yang dikumpulkan tidak digunakan untuk rakyat, dan rebat GST tidak dipulangkan semula kepada syarikat yang patut menerimanya.
"Oleh sebab itu kos sara hidup pun meningkat. Sistem percukaian harus dibaiki supaya ianya lebih adil dan progresif," katanya.
Selain itu, Daim berkata terdapat juga pilihan untuk meminjam melalui penerbitan sekuriti tempatan kerana keyakinan pelabur untuk bon Malaysia masih kuat.
Katanya, kerajaan juga dapat mengkaji semula had pentadbirannya yang ditetapkan sebanyak 55 peratus daripada KDNK sejak kali terakhir kerajaan menaikkan nisbah daripada 45 peratus pada bulan Julai 2009.
Akhir sekali, Daim berkata kerajaan boleh meminjam daripada Bank Negara Malaysia.
"Kita sedang berhadapan dengan situasi luar biasa pada saat ini dan kita memerlukan cara penyelesaian yang luar biasa juga.
"Kita mesti fikir di luar kotak," jelasnya lagi.