Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anak Orang Asli tak ada gajet nak belajar dalam talian
Diterbitkan:  May 22, 2020 5:02 PM
Dikemaskini: 9:02 AM

Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam talian bagi menggantikan interaksi secara berdepan di dalam bilik darjah, kini merupakan norma baru dan satu-satunya cara yang paling selamat ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19.

Namun, wujud keterbatasan dan kekangan khususnya kepada pelajar yang tidak mempunyai capaian internet terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar atau di penempatan Orang Asli.

Malah, menurut penyelaras dan guru Sekolah Deek Penaney, Perak, Ita Bah Nan lebih malang lagi adalah ada kalangan ibu, bapa yang tidak berkemampuan dalam menyediakan kemudahan pembelajaran kepada anak mereka.

Kata Ita, ini termasuk menyediakan kemudahan gajet.

"Kalau bercakap dari segi mendapatkan pendedahan dan juga pendidikan sebenarnya mereka boleh dikatakan jauh sedikit ketinggalan kerana seperti mana yang kita tahu di pedalaman dari segi bekalan elektrik pun tidak ada, inikan pula capaian internet.

"Dan mereka juga tidak berkemampuan untuk memiliki gajet, telefon bimbit kerana memerlukan mereka berbelanja lebih," katanya dalam wawancara bertajuk Pasca PKP: Langkah Membendung Keciciran Pelajar Orang Asli yang disiarkan di Facebook Pertubuhan Perfileman Sosial Malaysia (Freedomfilm), hari ini.

Ita berkata demikian ketika diminta mengulas isu-isu semasa pelajar Orang Asli sebelum dan selepas tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang mula dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

Mengulas lanjut, Ita berkata komuniti Orang Asli turut ketinggalan dalam menggunakan aplikasi Zoom, Whatsapp untuk pembelajaran anak-anak mereka.

"Rata-rata kalau kita tengok dari segi latar belakang ibu bapa tidak boleh membaca, menulis. Jadi, bagaimana mereka mahu membimbing anak-anak mereka? Jadi mereka akan berbalik kepada rutin dan aktiviti di kampung-kampung," katanya.

Malah, menurut Brenda Danker, moderator program tersebut, beliau turut dimaklumkan bahawa 95 peratus pelajar Orang Asli di sebuah kampung terpaksa berhenti belajar.

"Seperti di Kampung Sungai Raya, lebih 95 peratus pelajar di kampung tersebut berhenti belajar kerana ketidakmampuan menyediakan pembelajaran melalui internet," katanya.

Sementara itu, guru komuniti Tadika Cahaya Asli, Kampung Tekir, Negeri Sembian, Asmah Lily Telan berkata ekoran kekangan yang dihadapi keluarga dan ibu bapa pelajar di kawasan tempatnya mengajar menyebabkan anak-anak hilang minat untuk belajar.

"Semenjak PKP ini saya lihat pendidikan anak-anak Orang Asli, khususnya di tempat saya memang tidak dapat perhatian daripada pelajar itu sendiri.

"Sebab cuti yang panjang sewaktu PKP ini mereka lebih suka bermain dan leka dengan aktiviti harian mereka, baik di peringkat tadika mahu pun di sekolah menengah.

"Mereka lebih senang bermain," katanya.

Kementerian Pendidikan baru-baru ini menyediakan garis panduan untuk pentadbir sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar untuk menjalankan pembelajaran atas talian kepada pelajar semasa PKP, terutama melalui portal pembelajarannya.

Platform itu menyediakan pautan kepada alat komunikasi seperti Google Classroom dan Microsoft Team untuk pengajaran dan pembelajaran di rumah.

Bagaimanapun, bermula dengan kekurangan akses internet oleh ibu bapa dan pelajar, pembelajaran secara atas talian terbukti menjadi cabaran kepada guru yang berjuang untuk memastikan pengajaran berterusan.

Malaysiakini sebelum ini turut melaporkan keluh kesah ibu, bapa dan guru di bandar-bandar yang berkongsi kekangan yang sama, yang menampakkan wujud jurang digital dalam pengajaran atas talian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS