Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun PKR nafi spekulasi 'Langkah Rawang'
Diterbitkan:  May 22, 2020 3:52 PM
Dikemaskini: 7:55 AM

Adun Rawang Chua Wei Kiat menolak spekulasi bahawa dirinya akan mengosongkan kerusi dewan undangan negerinya untuk membuka jalan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim menjadi menteri besar Selangor yang seterusnya.

Menerusi akaun Facebook, Chua mendakwa spekulasi itu timbul susulan satu tulisan di “blog Umno” namun tidak menamakan secara khusus blog berkenaan.

“Konteks artikel tersebut tidak benar. Parti kini menumpukan isu persekutuan dan masalah disiplin dalam parti. Tidak ada perbincangan mengenai perkara itu (yang dinyatakan dalam berita).

“Berita tersebut disiar dalam blog Umno jadi kredibiliti berita tersebut dipersoalkan,” katanya dalam bahasa Mandarin bersama gambarnya dengan Anwar.

Walau bagaimanapun, wakil PKR itu berkata, bahawa beliau akan mematuhi sebarang arahan parti.

“Pendirian saya tak pernah berubah. Masa depan negara lebih penting dari masa depan saya. Saya akan patuh apa sahaja keputusan yang dibuat parti,” katanya.

Ketika dihubungi, Chua memberitahu Malaysiakini bahawa spekulasimengenai pilihan raya kecil (PRK) Rawang itu agak janggal memandangkan tumpuan kini adalah terhadap Putrajaya.

Semalam, bekas pegawai khas Najib Razak, Isham Jalil, menambah bara terhadap spekulasi itu.

Beliau mendakwa bahawa terdapat “perbincangan” dengan wakil PKR Selangor yang akan meletak jawatan bagi membuka jalan kepada Anwar untuk bertanding pada pilihan raya kecil lalu menerajui negeri itu.

Ahli Umno itu juga mendakwa bahawa ini terjadi kerana Menteri Besar Selangor Amirudin Shari adalah sekutu dengan bekas timbalan presiden parti itu Azmin Ali yang merupakan seteru politik Anwar.

Kejatuhan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) Februari lalu juga menyaksikan beberapa kerajaan negeri - Johor, Perak, Melaka dan Kedah - tumbang kepada gabungan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai oleh Bersatu, Umno, PAS dan GPS beberapa parti kecil.

Dari kawalan lapan kerajaan negeri selepas PRU14, PH dan gabungannya kini hanya berbaki empat negeri, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Sabah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS