Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penurunan terbesar IP pada Mac, ekonomi M’sia bakal alami kelembapan ketara

Indeks Pelopor (IP) pada Mac 2020 merekodkan penurunan bulanan terbesar sejak November 1991 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu mulai 18 Mac bagi membendung penularan COVID-19, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata berdasarkan krisis-krisis ekonomi global yang berlaku sebelum ini, didapati apa yang dijangkakan oleh IP untuk empat hingga enam bulan ke hadapan mencerminkan realiti kemelesetan ekonomi yang bakal berlaku.

Dalam kenyataan mengenai Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan bagi Mac 2020 hari ini, Mohd Uzir berkata IP terus menurun kepada negatif 4.9 peratus pada Mac 2020 daripada negatif 0.8 peratus pada bulan sebelumnya.

Penurunan ini disumbangkan terutamanya oleh Jangkaan Nilai Jualan dalam sektor Pembuatan (-1.7 peratus) dan Bilangan Syarikat Baru Didaftar (-1.6 peratus).

Pada masa yang sama, perubahan tahunan IP merekodkan negatif 3.6 peratus pada Mac 2020 berbanding 1.7 peratus pada Februari 2020.

Kemerosotan mendadak IP mencerminkan penutupan dalam aktiviti perniagaan bukan keperluan utama berikutan sekatan yang belum pernah terjadi sebelum ini untuk mengekang pandemik COVID-19.

“Oleh itu, ekonomi Malaysia dijangka akan mengalami kelembapan ketara dalam masa terdekat,” kata Mohd Uzir.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS