- Dikemas kini dengan jumlah sokongan sebenar daripada lapan kepada tujuh pemimpin bahagian.
Tujuh daripada 15 pemimpin bahagian Bersatu Kedah menandatangani kenyataan untuk memberi sokongan kepada pengerusi parti mereka, Dr Mahathir Mohamad, dengan harapan dapat menyelesaikan krisis kepemimpinan dalam parti.
Timbalan Ketua Bersatu Kedah, Anuar Abdul Hamid berkata, pemimpin bahagian juga telah menyatakan sokongan mereka terhadap bekas menteri besar Mukhriz Mahathir sebagai ketua Bersatu negeri.
"Kepemimpinan Mahathir dan Mukhriz sah di peringkat negeri dan persekutuan berdasarkan perlembagaan parti Bersatu, dan mereka tidak sepatutnya dipertikaikan oleh mana-mana pihak," kata Anuar kepada Malaysiakini.
Anuar berkata sokongan dan kesetiaan tujuh pemimpin bahagian itu "tulen".
Bagaimanapun, ketika ditanya, Anuar berkata dia tidak pasti bagaimana perpecahan dalam Bersatu dapat diselesaikan melalui janji sokongan untuk Mahathir dan Mukhriz ini.
"(Situasi) sukar, dan nampak macam kita perlu kembali ke Pendaftar Pertubuhan (ROS) atau mahkamah untuk menyelesaikan perselisihan kita," tambahnya.
Dalam satu kenyataan, tujuh pemimpin Bahagian tersebut meluahkan rasa kesal terhadap beberapa individu dalam parti yang disifatkan menentang Mahathir dan Mukhriz.
“Kami kesal dengan tindakan individu tertentu, termasuk sebilangan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), yang dalam keghairahan menyatakan sokongan kepada Presiden Bersatu dan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin sanggup mengusulkan cadangan memecat Mahathir sebagai pengerusi dan Mukhriz sebagai pengerusi Kedah.
“Harus diingatkan semasa tercetusnya kemelut kepimpinan, MPT telah menolak peletakan jawatan Mahathir sebagai pengerusi. Susulan perjumpaan dengan pimpinan parti, Mahathir akhirnya menghormati rayuan MPT supaya kekal sebagai pengerusi,” kata kenyataan itu.
“Selayaknya, Mahathir kekal menerajui Bersatu sebagai pengerusi, jawatan yang dipertahankan tanpa dicabar semasa pencalonan pemilihan jawatan tertinggi parti,” tegas pemimpin terbabit.
Pemimpin bahagian tersebut juga mengecam sebarang tindakan memecat Mahathir atau Mukhriz dari Bersatu kerana cubaan tindakan tersebut adalah "tidak beretika dan mesti ditentang".
Mereka turut menggesa ahli parti supaya kembali ke perjuangan parti yang asal, iaitu keikhlasan dan kepercayaan, dan menghormati kehendak akar umbi serta menegakkan perlembagaan Bersatu.
“Kami amat berharap kemelut kepimpinan Bersatu dapat diselesaikan dengan tuntas dan bijaksana, yang bersendikan akhlak mahmudah bagi meletakkan semula perjuangan semua ahli di landasan lurus dan bertepatan cogankata parti, iaitu bersatu, beramanah, bermaruah.
“Bersatu hanya akan dihormati rakyat selepas menolak pengkhianatan dan kembali mendokong perjuangan berintegriti serta bermaruah,” kata kenyataan itu.
Selain Anuar, pemimpin bahagian yang menandatangani kenyataan tersebut adalah dari Kubang Pasu (Amiruddin Hamzah), Alor Setar (Mohamad Nuhairi Rahmat), Kulim-Bandar Bahru (Azimi Daim), Pokok Sena (Muhammad Amri Wahab), Jerlun (A Aziz Mohamud) dan Langkawi (Shukor Bahari).
Semalam, Pemuda Bersatu turut menolak surat ROS yang mengesahkan peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai pengerusi parti.
Pemuda Bersatu juga berkata Hamzah Zainuddin - yang mengirim surat kepad ROS untuk bertanya tentang status jawatan pengerusi tersebut- merupakan Menteri Dalam Negeri (KDN) dan salah seorang yang mendakwa dirinya sebgai Setiausaha Agung Bersatu, maka ia mempunyai “konflik kepentingan”.
ROS berada di bawah bidang kuasa KDN. Surat tersebut sebelum ini menyatakan bahawa Muhyiddin "berhak" menjadi pemangku pengerusi parti tersebut.
Pada Februari, Mahathir telah meletakkan jawatan setelah parti tersebut tekad untuk mengeluarkan Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN) bersama Umno dan PAS.
Tetapi Muhyiddin meyakinkan Mahathir untuk kekal memegang jawatan dan Bersatu mengumumkan bahawa bekas perdana menteri itu masih pengerusi parti mereka.
Muhyiddin kemudian dilantik menjadi perdana menteri pada Mac lalu setelah PH gagal membentuk majoriti antara anggota parlimen.
Bersatu sepatutnya mengadakan pemilihan parti pada April lalu namun ditangguh kerana pandemik Covid-19.