Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
OKU ditahan kerana didakwa guna identiti ketua Pemuda MCA di Facebook
Diterbitkan:  May 22, 2020 11:17 AM
Dikemaskini: 3:17 AM

Polis Petaling Jaya telah menahan seorang individu yang mempunyai masalah mental pada hari Rabu lalu setelah disyaki menggunakan identiti Ketua Pemuda MCA Nicole Wong Siaw Ting atas kesalahan siber.

Ketua Polis Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata bahawa pihak berkuasa telah melakukan siasatan setelah Nicole Wong membuat laporan susulan perkara tersebut pada 21 April lalu.

“Sebelum ini, ahli politik tersebut membuat laporan polis setelah mendapati gambar dan nama digunakan individu lain di Facebook untuk melakukan kesalahan jenayah.

“Berdasarkan siasatan, kami menangkap individu mempunyai masalah mental berumur 40 tahun di rumahnya di Taman Lembah Maju, Ampang pada hari Rabu lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan psikiatrik.

Nik Ezanee turut menambah bahawa suspek merupakan pemegang kad OKU (orang kurang upaya) sejak 2015 dan pernah melalui rawatan psikiatrik.

Pihak polis juga telah merampas telefon bimbit suspek dan dua kad sim semasa tangkapan.

Suspek disiasat di bawah Seksyen 509 Akta Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

Malaysiakini juga sudah menghubungi Nicole Wong bagi mendapatkan penjelasan lanjut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS