Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRK CHINI | Sekiranya perintah kawalan pergerakan (PKP) tidak dilonggarkan sebelum tempoh kempen Jun ini, kita akan menyaksikan buat kali pertama sebuah pilihan raya kecil (PRK) yang tidak melibatkan ceramah politik di lapangan.

Menurut Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom, badan itu akan mengikut peraturan ditetapkan kerajaan pada waktu berkempen nanti.

Sekiranya kerajaan masih tidak membenarkan perkumpul beramai-ramai untuk ceramah, maka SPR juga tidak akan mengeluarkan permit.

“Jadi kalau orang ramai tak dibenarkan untuk berkumpul - maksudnya ceramah dan syarahan ini semua takkan dibenarkanlah - SPR takkan beri permit untuk aktiviti begitu.

“[...] Jika tak dibenarkan oleh kerajaan, kita juga takkan benarkan. Mudah. Memang jelas,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Meskipun begitu, kata Azmi, keadaan masih boleh berubah memandangkan tempoh berkempen dua minggu hanya akan bermula selepas hari penamaan calon iaitu 20 Jun ini.

Pun begitu, katanya, SPR bersedia untuk menghadapi apa jua kemungkinan.

Bagi Pengarah Eksekutif Bersih, Yap Swee Seng, tiada ceramah politik di lapangan tidak sepatutnya menjadi masalah buat parti politik memandangkan mereka masih boleh berkempen di internet menerusi webinar dan media sosial.

Asingkan pengundi demam

Malah, katanya, parti politik pun sudah biasa menggunakan media sosial untuk kempen politik lama sebelum tercetusnya Covid-19.

Tambahnya, meskipun ceramah tak dibenarkan, kempen dari rumah ke rumah mungkin masih boleh dilakukan dengan mengamalkan prosedur tertentu, seperti tidak melibatkan jumlah ramai, tanpa berjabat tangan dan memastikan jarak sosial antara calon dan penduduk sentiasa dijaga.

“Jadi, saya rasa tak jadi masalah,” katanya ketika dihubungi.

SPR pada 15 Mei menetapkan 4 Julai sebagai tarikh PRK Chini, Pahang, susulan kematian Adun kawasan itu, Abu Bakar Harun, 60, kerana serangan jantung pada pada 6 Mei lalu. 

Tarikh penamaan calon pula ialah pada 20 Jun manakala tarikh mengundi awal pada 30 Jun. Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari mulai selesai penamaan calon sehingga jam 11.59 malam pada 3 Julai.

Yap Swee Seng

Bagi hari pembuangan undi, kata Yap, SPR boleh mencontohi Korea Selatan yang selesai mengadakan pilihan raya parlimennya April lalu, di tengah-tengah wabak Covid-19.

Antaranya, Yap mencadangkan pemeriksaan suhu badan di pagar pusat mengundi serta di saluran mengundi, pemakaian pelitup muka, sarung tangan, penggunaan pensanitasi tangan sebelum dan selepas mengundi, serta pengasingan tempat untuk pengundi demam.

Yap turut mencadangkan agar SPR menambah bilangan pusat dan saluran mengundi serta membahagikan pengundi kepada kategori masa tertentu untuk mengurangkan kesesakan dan mengelakkan pengundi beratur panjang.

Datang ikut masa ditetapkan

Kebanyakan cadangan itu nampaknya telah diambil kira dalam prosedur operasi standard (SPR) oleh SPR.

Seperti kata Azmi, SOP yang masih diperhalusi itu antara lain merangkumi pemeriksaan suhu pengundi, penjarakan sosial semeter, dan penyediaan pensanitasi tangan.

Tambahnya, SPR akan menyediakan khemah khas untuk pengundi yang mempunyai suhu badan tinggi dan di situ mereka akan dibantu oleh petugas kesihatan untuk urusan pembuangan undi.

Selain itu juga, pengundi akan dimaklumkan masa mengundi di kad pengundi masing-masing bagi menyebar taburan pengundi agar tidak datang serentak, sekali gus dapat mengelak kesesakan di pusat mengundi.

“Yang sangat penting sekali, kita menggalakkan pengundi datang pada masa ditetapkan. Kita galakkan sekuat-kuatnya.

"Kalau boleh, tolonglah datang pada masa yang kami tetapkan,” katanya yang menambah SPR sentiasa bekerjasama secara berterusan dengan agensi berkaitan bagi mendapatkan nasihat berhubung kesihatan.

Sementara itu, Yap bersetuju kesalahan membabitkan pemberian makanan semasa ceramah mungkin akan berkurangan kali ini sekiranya ceramah benar-benar tidak dibenarkan semasa tempoh kempen.

Namun, katanya, apa yang menjadi kekhuatiran adalah kesalahan besar membabitkan penyalahgunaan sumber kerajaan, serta pengumuman sumbangan atau projek kepada penduduk oleh menteri atau exco negeri, semasa tempoh kempen nanti.

“Kami rasa (kesalahan begini) kena diambil tindakan oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), sebab kalau tidak, ia akan berulang,” katanya yang menambah Bersih akan menghantar tiga pemerhati sahaja mengikut had yang ditetapkan SPR untuk PRK kali ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Abu Bakar yang memperoleh 10,027 undi, memenangi kerusi Chini dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405 undi), dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain (1,065 undi).


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS