Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Harga barang naik: PN wajar teladani kerajaan PH, kata Saifuddin

Bekas menteri yang bertanggungjawab di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Saifuddin Nasution Ismail, hari ini menggesa Perikatan Nasional (PN) meneliti kembali kaedah kerajaan itu mengekang kenaikan harga barang.

Kata Saifuddin ada dua perkara yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dulu tetapi tidak diteruskan oleh PN sekarang dan ia dilihat menyumbang kepada masalah tekanan harga barang keperluan harian.

Menurut beliau satu daripadanya ialah PN menetapkan tempoh kawalan harga barangan terbabit hanya selama 15 hari berbanding 30 hari semasa PH menjadi kerajaan.

"Manakala bagi jumlah barangan dalam senarai harga kawalan pula hanya ditetapkan 11 sahaja oleh PN dan ia lebih rendah berbanding 27 barang semasa PH," katanya.

Saifuddin berkata demikian semasa dihubungi Malaysiakini bagi mengulas rungutan orang ramai terhadap peningkatan pelbagai barang menjelang sambutan hari raya ini.

Antara barang yang menunjukkan peningkatan ketara ialah ayam, daging dan telur.

Justeru menurut ahli parlimen Kulim - Bandar Baru itu, PN wajar meneliti kembali jumlah barangan yang dikawal serta tempoh yang ditetapkan bagi kawalan harganya.

Dalam risau kena fikir harga barang

"Sebelas barang yang dikawan itu ternyata sangat sedikit dan tempoh 15 hari juga sangat pendek," katanya.

Terdahulu Saifuddin ditanya mengenai pengumuman menteri KPDNHEP, Alexander Nanta Linggi, berhubung senarai Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

Melalui skim itu sebanyak 11 barang disenaraikan sebagai barang kawalan bagi sambutan Aidilfitri. Ia bermula selama 15 hari sejak 20 Mei sehingga 3 Jun.

Untuk Pesta Kaamatan dan Hari Gawai pula, masing-masing turut melibatkan 11 barang dan akan bermula pada 28 Mei sehingga 3 Jun.

Kata Saifuddin PN wajar menjadikan langkah diambil KPDNHEP semasa pentadbiran PH dulu sebagai penanda aras bagi mengawal kenaikan harga barang, sekali gus menunjukkan ia berjaya menjaga kepentingan rakyat dan pengguna.

Kini, katanya, rakyat berdepan dengan pelbagai kesukaran tetapi pada masa sama masih terpaksa menghadapi kenaikan harga barang yang penting menjelang perayaan.

"Ketika rakyat hilang pendapatan (kerana kesan Covid-19), diselimut pula perasaan bimbang hilang pekerjaan mereka ditimpakan pula dengan beban perbelanjaan besar untuk membuat persiapan raya.

"Perkara yang paling diharap oleh rakyat pada kerajaan ialah panjangkan tempoh kawalan dan tambah bilangan barang," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS