Rumah ibadat bukan Islam dibenarkan beroperasi hanya di zon hijau mulai 10 Jun, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.
Bagaimanapun, beliau berkata, mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk bilangan yang hadir tidak melebihi 30 orang dan tertakluk kepada saiz dan keluasan rumah ibadat berkenaan.
“Kalau rumah ibadat kecil dan tidak boleh memuatkan 30 orang, maka jumlah yang berada di dalamnya perlu kurang daripada jumlah itu, tidak boleh berhimpit-himpit,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, warga emas berumur lebih 70 tahun dan kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan hadir ke rumah ibadat berkenaan.
Saringan suhu badan, penyediaan cecair pencuci kuman dan pemakaian pelitup separuh muka juga adalah sebahagian daripada SOP yang ditetapkan, katanya.
smail Sabri berkata, kebenaran menggunakan rumah ibadat itu hanya untuk warganegara Malaysia sahaja, dan hanya untuk hari-hari penting bagi agama masing-masing.
"Contohnya, untuk agama Kristian, mereka akan pergi ke gereja pada hari Ahad sahaja, jadi hanya hari Ahad dibenarkan," katanya.
Setakat ini kerajaan telah membenarkan 174 rumah ibadat beroperasi di seluruh negara iaitu 84 kuil, 15 tokong, 67 gereja dan lapan gurdwara.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata kebenaran itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan setakat ini ia melibatkan kira-kira satu peratus rumah ibadat seluruh negara.
Sementara itu, urusan perkahwinan di semua rumah ibadat masih ditangguhkan sambil menyatakan kelonggaran yang diberikan akan ditarik balik serta-merta jika terdapat sebarang pelanggaran SOP ditetapkan.
Mengenai bekalan keperluan asas, Ismail Sabri berkata kerajaan juga telah bersetuju untuk menambah 19 barangan lagi dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi Hari Raya yang berkuatkuasa dari 22 Mei sehingga 3 Jun ini.
Antara barangan yang dikawal harga ialah sayur-sayuran seperti tomato, cili merah, bawang besar dan cili kering selain ikan kembung dan ikan selayang, dan mengingatkan orang ramai agar tidak bimbang dengan bekalan makanan dan keperluan sepanjang musim perayaan kerana ia dijamin mencukupi.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata mana-mana pelanggan perlu membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia jika ada kebocoran data peribadi seperti nombor kad pengenalan selepas memasuki premis perniagaan untuk tindakan lanjut kerana ianya salah dari segi undang-undang.
Ismail Sabri berkata mesyuarat hari ini bersetuju untuk mengecualikan bayaran 50 peratus caj kuarantin hotel kepada golongan Orang Kelainan Upaya yang pulang dari luar negara, manakala ahli program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) masih perlu menanggung bayaran penuh caj kuarantin RM150 sehari.
Semalam Ismail Sabri berkata mulai 1 Jun, semua rakyat Malaysia di luar negara yang mahu pulang ke tanah air perlu membayar 50 peratus daripada kadar RM150 sehari bagi hotel yang menjadi pusat kuarantin Covid-19 manakala bagi bukan warganegara mereka akan dikenakan caj 100 peratus.
- Bernama