Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perantau pulang ke Kelantan wajib jalani saringan Covid-19

Setiap individu yang melakukan perjalanan rentas negeri untuk ke Kelantan diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19, berkuat kuasa serta-merta.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin berkata perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (Khas) hari ini, susulan seorang wanita hamil di Kuala Krai disahkan positif Covid-19.

Menurutnya, saringan itu akan dijalankan oleh kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri di sekatan jalan raya (SJR) di kawasan sempadan negeri termasuk di Jeli, Gua Musang, Pasir Puteh serta Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) untuk melakukan saringan.

"Kita putuskan hari ini mereka yang pulang perlu menjalani ujian COVID-19 berkuatkuasa serta merta. Tidak kira mereka yang pulang dengan pesawat atau kereta, mereka akan menjalani ujian berkenaan di SJR dan lapangan terbang.

"Justeru, kita menasihatkan mereka yang pulang ke Kelantan tidak menggunakan laluan tikus bagi mengelak daripada menjalani ujian saringan berkenaan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Kelantan, Hasanuddin Hassan dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Zaini Husin.

Semalam Malaysiakini melaporkan wanita hamil yang positif Covid-19 di Kelantan selepas melakukan perjalanan rentas negeri dari Ampang yang berstatus zon merah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah yang mengesahkan perkara itu berkata wanita berkenaan hanya disahkan positif Covid-19 apabila berkunjung ke klinik kesihatan ibu dan anak di Kelantan untuk menjalani rutin pemeriksaan.

Mengulas isu itu, Dr Izani menjelaskan, pihaknya turut mewajibkan pemakaian pelitup muka di premis tertutup.

"Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Krai juga akan membuat sanitasi pembersihan di pasar borong Kuala Krai.

"Ini kerana pasar tersebut merupakan tempat kerja salah seorang ahli keluarga yang mempunyai kontak rapat dengan mangsa," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS