Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Telefon pintar, media sosial penghubung silaturahim Aidilfitri ini

Tinggal beberapa hari lagi umat Islam di Malaysia akan menyambut 1 Syawal selepas sebulan berpuasa.

Tidak seperti tahun yang sudah-sudah, suasana sambutan lebaran kali ini pasti berbeza dalam keadaan negara masih berhadapan dengan ancaman wabak Covid-19.

Jika dahulu isu ‘menghadap telefon pintar’ khususnya dalam kalangan generasi muda ketika sambutan lebaran sering menjadi bahan perbualan dan kritikan.

Ironinya tahun ini, telefon pintar dan media sosial pula dikatakan bakal menjadi penghubung silaturahim antara sanak saudara dan sahabat taulan, sama ada yang dekat mahupun jauh.

Bagi penjawat awam, Muhd Syafiq Mat Jap, 33, dia akan berhubung dengan saudara mara melalui media sosial seperti aplikasi WhatsApp pada Aidilfitri nanti. 

"Sebelum ini tema dan mesej hari raya kebiasaannya menyarankan supaya kita menjauhi media sosial dan alat telekomunikasi agar terjalin silaturrahim kekeluargaan.

"Namun, terbalik pula kini, ia menjadi penghubung persaudaraan sesama sanak saudara," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Penggunaan telefon pintar dan media sosial sebagai penghubung silaturahim pada Aidilfitri kali ini turut dikongsikan seorang guru, Nur Ilyani Alias, 32.

Nur Ilyani berkata dia akan membuat panggilan video dengan keluarganya di Kedah bagi mengubati rasa sedih akibat tidak dapat pulang berhari raya.

"Ketiga-tiga adik-beradik ada di kampung (di Kedah) sebab semuanya masih belajar. Bila PKP (Perintah kawalan pergerakan) dilaksanakan semua tinggal di kampung. Jadi wajib membuat panggilan telefon. Rasa syahdu, sebak semua ada," katanya ketika dihubungi.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan aktiviti ziarah-pada Aidilfitri dihadkan maksimum 20 orang, namun bergantung kepada saiz sesebuah rumah.

Perdana menteri turut mengingatkan agar tiada jamuan besar-besaran atau rumah terbuka dianjurkan bagi membendung penularan Covid-19.

Selain itu beberapa negeri juga telah mengarahkan agar ibadat seperti solat sunat Aidilfitri hanya dilakukan di rumah bersama keluarga.

Tiada lagi rumah terbuka

Bagi peniaga dalam talian, Nur Syahirah Mohamad, 30, tiada lagi majlis rumah terbuka pada hari kedua Syawal tahun ini seperti kebiasaan tahun-tahun yang lalu.

Jika sebelum ini persiapan rumah terbuka disiapkan seminggu lebih awal, dengan anggaran kos mencecah RM3,000, kali ini tetamu yang berkunjung hanya akan dijamu seadanya.

“Sekiranya ada yang datang kami okay saja, namun lebih mengharapkan masing-masing sekadar beraya di rumah sahaja,” katanya yang menambah semua ahli keluarganya juga sepakat memilih untuk beraya di rumah. 

Begitu juga Nur Ilyani yang mengatakan tahun ini dia lebih memilih untuk beraya dengan ahli keluarga terdekat.

Nur Ilyani yang menetap bersama suami dan anak-anak di Miri, Sarawak sejak lapan tahun yang lalu berkata, dia mengambil pendekatan paling selamat dengan mengamalkan dasar "tutup pintu" kepada tetamu yang lain.

Namun kata Nur Ilyani, persiapan baju raya tetap dilakukan, lebih-lebih lagi buat anak-anak agar mereka tetap gembira dan teruja menyambut lebaran. 

Sementara itu, Muhd Syafiq memberitahu juadah tradisi wajib seperti ketupat, rendang dan lemang tetap akan disediakan meskipun tidak semeriah tahun-tahun yang lalu.

Jelasnya, dia bertuah kerana tahun ini tidak beraya sebagai perantau setelah dapat bertukar tempat kerja dari Kuala Lumpur ke kampung halaman di Kedah.

Namun, katanya, langkah berjaga-jaga tetap diambil memandangkan tiga ahli keluarga yang berisiko tinggi iaitu ayah yang menghidap kanser, ibu yang menghidap beberapa penyakit, serta kakak yang sarat mengandung. 

"Raya tahun ini kita sambut dengan penuh kesederhaan, lebihkan rasa bersyukur dalam keadaan negara menghadapi situasi sukar.

"Ramai yang tak dapat balik beraya, dan ada yang kehilangan orang tersayang akibat pandemik yang melanda," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS