Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perak beri bantuan RM500 bagi pendidik, pengasuh institusi pendidikan awal

Seramai 1,977 pendidik dan pengasuh institusi pendidikan awal di Perak yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerima bantuan kewangan sekali bayar sebanyak RM500 seorang, melibatkan peruntukan sebanyak RM1 juta.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata kerajaan negeri juga memberi bantuan sewa premis pada kadar rata RM500 sebulan selama tiga bulan kepada 567 institusi pendidikan awal yang berdaftar dengan JKM bagi meringankan beban susulan penularan wabak Covid-19.

"Keseluruhan peruntukan untuk pengusaha institusi pendidikan awal dan tenaga pengajar adalah sebanyak RM1.84 juta," katanya ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak (Fasa Dua) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di, hari ini.

Pakej berjumlah RM71.17 juta itu meliputi peruntukan RM18.36 juta kepada sektor perniagaan, sektor pertanian (RM15.59 juta), sektor pelancongan (RM10.84), pendidikan dan modal insan ((RM9.56 juta), kebajikan dan sosial (RM1.4 juta) dan cukai tanah (RM15.42 juta).

Berikutan pengumuman itu, keseluruhan Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak yang dibentang susulan penularan wabak Covid-19 adalah sebanyak RM101.61 juta dengan pakej pertama berjumlah RM30.44 juta.

Selain itu, Ahmad Faizal berkata di bawah pakej fasa dua, seramai 2,830 tenaga pengajar maahad tahfiz menerima bantuan sara diri sebanyak RM800 seorang, melibatkan peruntukan keseluruhan RM2.26 juta.

Katanya, kerajaan negeri turut memberi bantuan RM10,000 kepada 116 buah maahad tahfiz swasta dengan peruntukan berjumlah RM1.16 juta bagi meringankan beban kewangan.

"Saya menyeru pusat-pusat tahfiz yang belum berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri Perak untuk segera berbuat demikian. Kerajaan negeri komited membantu dan memudahcara pendaftaran agar ibu bapa yakin dengan keselamatan anak-anak dan kualiti pendidikan," katanya.

Bagi menyokong peranan institusi kebajikan, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri menyediakan sumbangan per kapita RM150 kepada pusat jagaan dan pusat perlindungan berjumlah hampir RM1 juta.

"Bantuan ini akan memberi manfaat kepada hampir 6,000 anak yatim, warga emas dan orang kurang upaya di rumah-rumah kebajikan," katanya.

Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri turut mempercepatkan penubuhan Institusi Pembangunan Wanita dan Sosial (IPWS) melalui peruntukan sebanyak RM500,000 yang berperanan membantu wanita dan masyarakat mendepani impak semasa dan pasca Covid-19.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS