Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Tiga hari sebelum menjelangnya 1 Syawal bagi tahun ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan orang ramai agar meraikan Aidilfirtri tanpa amalan kunjung-mengunjung.

Jika boleh, kata beliau, orang ramai juga menyambut hari raya secara tertutup dan hanya berada di rumah masing-masing bagi mengelakkan berlakunya jangkita Covid-19.

Bercakap pada sidang media di Putrajaya hari ini Noor Hisham berkata kebimbangan utama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ialah kunjungan atau pergerakan dari kawasan yang banyak mencatatkan kes Covid-19 ke kawasan hijau.

"Walaupun kerajaan membenarkan ziarah pada hari pertama dan juga kalau ada yang datang berkunjung rumah, nasihat KKM ialah, patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) iaitu penjarakan sosial dan elakkan bersentuhan, bersalaman.

"Itu cara kita nak elakkan jangkita, sebab kalau mereka yang positif (tetapi tidak menunjukkan simptom) datang dan apabila bersalaman dengan kita, mungkin kita akan dijangkiti.

"Jadi kalau boleh kita elakkan daripada bersalaman, amalkan penjarakan sosial dan kerap cuci tangan. Setiap rumah yang kita pergi pastikan kita cuci tangan," katanya sambil menambah, ia merupakan nasihat dan bukannya suatu dasar yang ditetapkan KKM.

Nasihat itu dibuat ketika ada kes baru dicatatkan di kawasan hijau sebelum ini. Misalnya kewujudan kes baru di Kuala Krai, Kelantan ekoran pergerakan seorang pesakit dari Ampang.

Malaysiakini siang tadi melaporkan kes tersebut melibatkan seorang wanita hamil yang pulang ke kampungnya sebagai persediaan untuk bersalin.

Sumber kepada jangkitan berkenaan masih disiasat.

Noor Hisham juga mengingatkan mungkin berlaku peningkatan kes Covid selepas hari raya ini jika orang ramai tidak patuh kepada SOP yang ditetapkan.

Beliau juga menasihatkan orang ramai - kalau boleh - agar tidak menziarahi kubur pada hari raya.

"Ini adalah nasihat, bukan dasar... tetapi nasihat kepada semua yang balik kampung ataupun merayakan Aidilfitri,." katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS