Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pekerja pendawaian dipenjara 7 tahun, rompak pengawal keselamatan

Seorang pekerja pendawaian dihukum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan merompak seorang pengawal keselamatan sehingga meninggalkan trauma kepada mangsa dua tahun lepas.

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu ke atas M Anil Rajagopal, 39, selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

“Setelah mahkamah mendengar dan meneliti hujahan dan keterangan saksi daripada pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati bahawa keterangan tertuduh dalam kes ini merupakan satu keterangan yang berbentuk penafian kosong yang tidak disokong sebarang bukti,” katanya yang memerintahkan tertuduh menjalani hukuman mulai tarikh dia ditangkap iaitu pada 21 Jun 2019.

Anil Rajagopal didakwa merompak seorang lelaki warga Bangladesh, Hossain Imran, 32, berhampiran pintu masuk Kelab Golf Royal Selangor, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 6 pagi 18 Jun 2018 mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan memohon hukuman setimpal kerana mangsa mengalami trauma akibat kejadian itu manakala peguam Muhamad Izwan Ishak memohon hukuman ringan atas alasan tertuduh terpaksa menanggung keluarga.

Seramai enam saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan, iaitu tertuduh, telah memberi memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 25 Feb lepas.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS