Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas kira-kira sebulan bebas daripada sebarang kes Covid-19, Kelantan merekodkan kembali kes baru wabak tersebut.

Perkara itu dimaklumkan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin kepada media, hari ini.

"Dari segi pengesahan sepatutnya kita tunggu pengumuman pengarah hospital.

"Daripada maklumat yang saya terima apa yang kita takutkan selama ini dari segi rentas sempadan. Dia (pesakit) balik apabila ketika sempadan negeri dibuka baru-baru ini.

"Secara tidak rasmi dikatakan dia positif dan sedang dirawat di hospital," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat exco kerajaan Kelantan di kediaman rasmi menteri besar di JKR10, Kota Bharu.

Terdahulu, difahamkan seorang pesakit yang juga wanita hamil didapati positif Covid-19 dan kini sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

Sumber yang rapat dengan hospital itu mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini.

Kes tersebut menjadi tular di media sosial sejak semalam dengan pelbagai cerita dan spekulasi.

Sebagai rekod Kelantan diisytihar bebas Covid-19 dan diklafikasikan sebagai zon hijau sejak 28 April lalu selepas tiada kes baru selama 14 hari sebelumnya.

Sementara itu Izani berkata, setakat ini keluarga pesakit yang berasal dari Kuala Krai itu didapati negatif.

"Setakat ini maklumat yang kita tahu, ahli keluarganya negatif, dia seorang saja positif. Dia dirawat di hospital, manakala keluarga lain dikuarantin.

"Mangsa seorang wanita yang sedang mengandung 32 minggu. Bagi saya kena tunggu tindakan lanjut pihak hospital, biasanya tindakan akan diambil untuk menjejaki kontak-kontak rapat," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS