Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ROS: Peletakan jawatan Dr M sah, Muhyiddin berhak jadi pemangku pengerusi
Diterbitkan:  May 19, 2020 7:59 PM
Dikemaskini: May 20, 2020 9:54 AM

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) mengesahkan bahawa Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin "berhak" menjadi pemangku pengerusi parti, setelah Dr Mahathir Mohamad menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Muhyiddin pada 24 Februari.

Dalam surat bertarikh 5 Mei, ROS mengatakan penilaian ini berdasarkan dokumen yang diberikan oleh pihak berkaitan.

"Berdasarkan dokumen yang dikemukakan - iaitu surat peletakan jawatan pengerusi, ROS mengesahkan peletakan jawatan Mahathir sebagai pengerusi Bersatu oleh Muhyiddin, presiden Bersatu adalah juga sah dan masih berkuat kuasa selaras dengan peruntukan perlembagaan Bersatu sehingga diadakan pemilihan pengerusi baru,” menurut surat yang dilihat oleh Malaysiakini.

Surat itu memetik Artikel 16.9 perlembagaan parti untuk keputusan berkenaan.

Ia menetapkan bahawa jika pengerusi itu mengundurkan diri atau dipecat daripada parti, presiden akan mengambil alih jawatan pemangku pengerusi sehingga pengerusi baru dipilih.

Surat itu ditujukan kepada setiausaha kerja Bersatu, Suhaimi Yahya untuk menjawab pertanyaannya mengenai perkara itu pada 1 Mei.

Ketika dihubungi, jurucakap ROS mengesahkan bahawa surat itu sah.

Sebelum ini, Mahathir telah mengundurkan diri sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu pada 24 Februari, setelah parti itu menentangnya dan Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari Pakatan Harapan untuk membentuk Perikatan Nasional (PN).

Tidak lama selepas meletakkan jawatan, Bersatu telah meyakinkan Mahathir untuk terus memegang jawatan pengerusi parti dan mengumumkan beliau akan kekal memegang jawatan itu.

Bagaimanapun, mereka kemudian gagal meyakinkan Mahathir untuk menyertai PN dan kem Muhyiddin kemudian mengenepikan pengumuman sebelumnya agar Mahathir kekal sebagai pengerusi.

Susulan perselisihan dengan Mahathir, kem Muhyiddin menyatakan bahawa parti itu tidak dapat menolak pengunduran Mahathir justeru peletakan jawatan sebagai pengerusi sebelum ini tetap diambil kira.

Abu Bakar Yahya

Dalam responsnya, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Abu Bakar Yahya mempersoalkan tindakan ROS yang "mengesahkan" Muhyiddin Yassin sebagai pemangku pengerusi, dan mendakwa perkara itu sepatutnya diputuskan dalam parti.

"ROS tak ada hak untuk katakan Muhyiddin berhak menjadi pemangku pengerusi Bersatu. Yang berhak untuk berbuat demikian ialah lembaga disiplin parti yang keputusannya turut dipersetujui dari MPT dan Bersatu," katanya kepada Malaysiakini.

Abu Bakar turut membangkitkan kedudukan Mahathir yang sebelum ini dilaporkan menang tanpa bertanding bagi jawatan pengerusi, selepas menjadi satu-satunya calon untuk bertanding jawatan itu.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu, Syed Hamid Albar pada 16 Mei lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS