Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa lembaga pengarah 1MDB mengeluarkan perincian dalam beberapa minit mesyuarat untuk melindungi perdana menteri ketika itu, Najib Abdul Razak.
Shahrol berkata demikian ketika ditanya mengapa minit mesyuarat lembaga 1MDB tidak menyebut apa-apa mengenai kesukaran yang dihadapi oleh 1MDB dalam mendapatkan perjanjian dengan PetroSaudi International Ltd ( PSI).
"Sekiranya saya boleh (sebutkan), sepanjang tempoh saya berkhidmat dari 2009 hingga 2013, ahli-ahli lembaga pengarah dan saya tertakhluk di bawah perjanjian yang luas ini bahawa kami mesti berhati-hati dengan apa yang kami buat, jika tidak, kami akan menentang pemegang saham utama, Datuk Seri Najib," katanya kepada mahkamah.
Shahrol berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah.
Ia berlaku ketika pihak pembelaan menyoal Shahrol mengenai mesyuarat pada bulan Julai 2010.
Shahrol didakwa gagal memberikan gambaran yang jelas berhubung mesyuarat tersebut mengenai mengapa juruaudit 1MDB Ernst dan Young telah menangguhkan untuk menandatangani laporan auditnya terhadap syarikat berkenaan ketika itu.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB itu memberi keterangan dalam perbicaraan 1MDB bernilai RM2.28 bilion oleh bekas perdana menteri Najib.
Untuk konteks, Ernst & Young (EY) dikatakan enggan menandatangani penyata kewangan 1MDB yang diauditnya kerana tidak berpuas hati tentang bagaimana penilaian aset syarikat kongsi yang dimiliki 1MDB dan Petrosaudi telah dibuat.
"Ia tidak diminitkan, tapi ya saya berkeras, dan ya itu dibincangkan. Ada alasan yang bagus.
"Ungkapan tersebut adalah 'mesti lindungi PM," kata Shahrol.
Menurut saksi itu, mereka diarahkan untuk tidak memberikan 'peluru' tambahan untuk serangan politik dilancarkan, maka mereka diminta supaya waspada terhadap apa yang direkod ketika mesyuarat.
EY kemudian dipecat oleh 1MDB sebagai juruaudit dan digantikan dengan KPMG.
Najib menghadapi 25 tuduhan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa berjumlah RM2.28 bilion yang berasal dari 1MDB.
Urusan dengan PetroSaudi adalah salah satu daripada sekurang-kurangnya empat fasa di mana dana 1MDB dipindahkan.
1MDB memasukkan sekitar AS$1.426 bilion ke dalam perjanjian usaha sama tersebut, yang mana AS$1,03 bilion dipindahkan ke Good Star Ltd, sebuah syarikat yang dikendalikan oleh rakan sekutu Najib, Low Taek Jho, seorang ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang yang kini dalam buruan pihak berkuasa.