Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tesco mohon maaf notis larang warga emas
Diterbitkan:  May 19, 2020 8:00 AM
Dikemaskini: 12:00 AM

Rangkaian pasar raya Tesco Malaysia memohon maaf berhubung notis yang melarang remaja dan warga emas daripada memasuki premisnya.

"Kami ingin memohon maaf atas papan tanda had umur yang diletakkan secara salah di salah satu daripada store kami. Kami mahu semua orang berasa dialu-alukan di gedung kami dan memohon maaf jika kesilapan ini telah menyinggung pelanggan kami.

"Seperti yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan, kami ingin menggalakkan mereka yang paling terdedah di kalangan kita, terutamanya kanak-kanak dan warga emas, agar kekal selamat dan duduk rumah selagi boleh semasa wabak ini melanda," katanya pada hantaran Facebook malam tadi .

Menerusi makluman yang dikemas kini, pasar raya itu mengatakan ia mengalu-alukan warga emas memasuki premis itu, tetapi tidak menggalakkan ibu bapa membawa kanak-kanak di bawah umur 12 tahun ke bawah.

Terdahulu, notis yang ditampal di sebuah pasar raya berkenaan tular di media sosial.

"Kanak-kanak berumur 16 tahun ke bawah dan dewasa berusia 65 tahun dan ke atas tidak dibenarkan memasuki premis ini," ujar notis berkenaan.

Sesetengah warganet berpendapat langkah itu bagi melindungi warga emas yang mempunyai risiko lebih tinggi untuk terdedah kepada wabak Covid-19.

Kerajaan juga sebelum ini tidak menggalakkan ibu bapa membawa anak kecil ke tempat-tempat awam, dan sedang mempertimbangkan untuk menguatkuasakan peraturan berhubung perkara itu.

Kementerian Kesihatan juga tidak menggalakkan orang ramai membawa warga emas ke tempat-tempat awam.

Namun sesetengah pihak mendakwa Tesco mengamalkan diskriminasi umur, manakala yang lain bimbang sekatan itu akan membahayakan warga tua yang hidup berdikari.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS