Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hanipa: Tak bawa usul tanda tak yakin dengan majoriti
Diterbitkan:  May 18, 2020 9:09 PM
Dikemaskini: 1:31 PM

Tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tidak membawa apa-apa usul dalam sidang Dewan Rakyat kali ini menunjukkan mereka tidak yakin dengan majoriti yang dimiliki, kata Anggota Parlimen Sepang Hanipa Maidin.

Bekas timbalan menteri undang-udang itu berkata, untuk selamat buat tempoh sementara, kerajaan telah mengelak sebarang agenda mesyuarat yang membawa kepada undian, termasuk usul daripada pihak mereka sendiri.

"Kenapa kerajaan yang ada suara majoriti tidak mahu teruskan apa-apa agenda mesyuarat selepas perasmian oleh Yang di-Pertuan Agong?

"Kenapa PAS yang sebelum ini pernah cadang untuk bawa usul percaya kepada bekas perdana menteri (Dr Mahathir Mohamad), kini tidak mahu pula bawa usul sama hari ini?" soalnya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, keputusan untuk mengehadkan agenda Dewan Rakyat kepada titah diraja sahaja membuatkan spekulasi berkenaan majoriti yang dimiliki dalam PN sukar dielakkan.

"Saya berani simpulkan bahawa PN adalah kerajaan yang ada suara majoriti tetapi tak yakin dengan majoriti tersebut," katanya lagi.

Hari ini Malaysiakini melaporkan Muhyiddin memiliki majoriti tipis sokongan anggota Parlimen untuk menjadi perdana menteri.

Ia berdasarkan susunan tempat duduk untuk persidangan yang menunjukkan bahawa terdapat 114 anggota parlimen yang menyokong kerajaan semasa, menandakan majoriti tipis tiga kerusi Parlimen.

Bagaimanapun Anggota Parlimen Sri Aman daripada Parti Bersatu Sarawak (PSB), Masir Kujat menjelaskan beliau menyokong pembangkang walaupun diberikan tempat duduk di pihak kerajaan. Ia menjadikan majoriti Muhyiddin berkurang kepada dua kerusi.

PH sebelum ini mendesak agar persidangan itu dilanjutkan, tetapi ditolak kerajaan atas dasar ia mendedahkan risiko penularan Covid-19 di kalangan anggota Parlimen.

Menurut Dewan Rakyat pula sebelum ini, kerajaan mengarahkan sidang hari ini disingkatkan kepada titah diraja oleh Yang di-Pertuan Agong sahaja atas dasar yang sama.

Membangkitkan perkara sama, Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu A Kadir Jasin menyifatkan bilangan anggota Parlimen kerajaan tidak cukup besar untuk meyakinkan Muhyiddin beliau akan menang jika usul undi tidak percaya dibawa, atau mendapat sokongan yang cukup bagi Rang Undang-undang (RUU) kerajaan.

"Kalau kerajaan yang dipilih dan mempunyai majoriti besar macam PH pun jatuh kerana ahli yang tidak setia, apakah jaminan ahli Dewan yang mengkhianati PH tidak akan mengkhianati PN pula.

"Sebagai pemimpin kanan PH yang mencaturkan kejatuhannya, Muhyiddin tentulah amat sedar bahawa dia juga boleh dijatuhkan. Inilah kelemahan dan kekurangan sebuah kerajaan yang tidak dipilih rakyat, apatah lagi terbentuk melalui pengkhianatan mandat," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

'Sekurang-kurangnya tukar speaker'

Mengulas lanjut, Hanipa berkata sudah menjadi kelaziman bahawa kerajaan baru akan menjadikan pertukaran speaker dan timbalan speaker sebagai antara agenda paling awal.

"Tak bolehlah kerajaan baru (tetapi) nak pakai speaker kerajaan lama. Ini bertentangan dengan parliamentary convention.

"Jika katakan PN nak kekalkan speaker lama pun, mestilah paling kurang ada usul di parlimen. Malangnya ia tak berlaku hari ini," katanya lagi.

Beliau memetik Peraturan 1 Peraturan-peraturan Majis Mesyuarat Dewan Rakyat, yang antara lain menyatakan pemilihan speaker dan timbalannya dibuat pada sidang pertama selepas pilihan raya.

"Tapi mungkin sebab peraturan satu tentang urusan kerajaan yang dibentuk selepas PRU, sedangkan PN adalah kerajaan yang tiada langsung hubungan dengan pilihan raya, maka mereka mungkin rasa tak perlu ikut peraturan itu," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS