story images
story images
mk-logo
Berita
'Titah Agong bukti k'jaan Muhyiddin sah, bukan ikut pintu belakang'
Diterbitkan:  May 18, 2020 9:08 PM
Dikemaskini: 1:14 PM

Titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah di Dewan Rakyat hari ini membuktikan kerajaan PN hari ini bukan 'kerajaan pintu belakang' seperti didakwa pembangkang, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Razlan Rafii.

Razlan berkata, kejatuhan kerajaan PH berpunca daripada tindakan Dr Mahathir Mohamad sendiri meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, sehingga Yang di-Pertuan Agong akhirnya memilih Muhyiddin Yassin untuk menggantikannya.

Beliau berkata, pemilihan Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan dibuat selepas Seri Paduka mendapati Ahli Parlimen Pagoh itu mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

"Ini membuktikan bahawa kerajaan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah satu kerajaan yang sah dari segi Perlembagaan Persekutuan dan tidak sepatutnya timbul persoalan yang mengatakan kerajaan hari ini merupakan satu ‘kerajaan pintu belakang’ kerana dengan jelas pelantikan YAB Tan Sri telah mengikut lunas – lunas Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh yang demikian, saya ingin menasihati pihak pembangkang supaya tidak derhaka kepada pelantikan jawatan perdana menteri oleh DYMM SPB YDPA.

"Kerajaan yang baru ini dipilih setelah perdana menteri dari Pakatan Harapan (PH) sendiri yang meletakkan jawatan sekali gus menyebabkan runtuhnya kerajaan 22 bulan ini. 

"Ia langsung tiada kena mengena dengan mana-mana gerak kerja parti politik termasuk juga daripada Umno yang ketika itu sedang menonton drama klasik persembahan pemimpin PH," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga meminta Pakatan Harapan (PH) supaya memberi kepercayaan penuh kepada Muhyiddin untuk menjalankan amanah yang diberi di kala negara sedang dilanda wabak Covid-19.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong hari ini bertitah bahawa baginda sudah menggalas amanah dengan telus dan seadil-adilnya dalam urusan pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan.

Titah Seri Paduka, sejurus selepas peletakan jawatan Mahathir, baginda telah mengadakan pertemuan dengan semua ahli parlimen pada 25 dan 26 Februari.

Al-Sultan Abdullah bertitah pelantikan Muhyiddin dibuat selepas parti-parti politik diberi masa mencukupi untuk membuat perhitungan secara demokrasi bagi menamakan calon masing-masing.

Menurut titah Seri Paduka, baginda juga telah meminta Mahathir tidak meletak jawatan sebagai perdana menteri, namun anggota parlimen Langkawi itu tetap dengan keputusannya.

Pada masa sama, baginda menasihatkan pemimpin politik supaya tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik tidak menentu ketika rakyat berdepan situasi sukar penularan pandemik Covid-19.

Terdahulu, susunan tempat duduk di Dewan Rakyat hari ini juga menunjukkan Muhyiddin memiliki majoriti walaupun hanya dengan perbezaan tipis dua kerusi.

'Islam, Melayu dibuli semasa PH memerintah'

Sementara itu, timbalan menteri belia dan sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengimbau ucapan Mahathir mengenai kebimbangan berkaitan isu Melayu Islam di negara ini.

Menerusi Facebooknya, Wan Ahmad Fayhsal berkata Mahathir juga pernah mengatakan betapa galaknya menteri daripada DAP menggasak beliau di dalam mesyuarat-mesyuarat jemaah menteri.

"Banyak gundah-gulana yang kita semua rasa, agama Islam dan Melayu seakan dibuli semasa PH memerintah. 

:Hal ini jugalah yang akhirnya menzahirkan penganjuran Kongres Maruah Melayu yang digerakkan oleh akar umbi untuk menyatukan kembali kuasa politik Melayu demi mengelokkan semula fabrik perpaduan di Malaysia.

"Setelah hampir tiga penggal tanpa dua pertiga majoriti Melayu di Dewan Rakyat, saya kira inilah masa yang paling sesuai untuk kita semua bersatu hati dan kembali menguatkan politik orang Melayu," katanya.

Menurutnya lagi, beliau masih berpegang kepada kata-kata Mahathir bahawa DAP perlu 'dilemahkan' demi masa depan politik Melayu.

"Apapun, kita semua telah memberi Tun Mahathir peluang selama 22 tahun dan tambahan dua tahun dan Tun Mahathir mungkin betul pada kali pertama dan kali kedua tapi bukan sentiasa betul – dulu, kini, selamanya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS