Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KKM: Tiada strategi keluar selagi tiada kepatuhan tinggi pada SOP ketika PKPB

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perbincangan berkenaan strategi keluar krisis Covid-19 akan dibuat setelah pematuhan tinggi prosedur operasi standard (SOP) di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dicapai, serta kes baru harian kekal di paras dua angka.

"Sebelum kita nak bincang strategi keluar, sekarang kita belum bincangkannya dan hanya beri kelonggaran menerusi PKPB. Sebelum ada strategi keluar, rakyat perlu patuh (SOP).

"Kalau tak patuh kita mungkin akan lanjutkan PKPB. Kalau patuh dan (kes baru di tahap) dua angka yang baik, kita boleh pertimbangkan sama ada perlu strategi keluar yang lebih teliti daripada Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, beliau berkata Malaysia berjaya mengekalkan kes baru pada paras dua angka untuk dua minggu ini, sejak bermulanya PKPB.

Ini bermakna pelonggaran PKP telah menunjukkan kejayaan.

"Jika kita lihat PKP dan PKPB, kita berjaya kekalkan (kes baru sebanyak) dua angka.

"Ini bererti PKPB juga berjaya...Tetapi kepatuhan SOP perlu ditingkatkan lagi," kata Noor Hisham.

Pada masa sama, beliau berkata KKM bimbang musim perayaan yang bakal tiba akan meningkatkan jumlah kes baru.

"Kita akan bimbang kalau tiada kepatuhan SOP, kes akan meningkat. Jadi kita sama-sama harap semua rakyat patuh SOP semasa musim perayaan.

"SOP ini mudah tetapi mungkin sukar diamalkan. Saya rasa semua orang tahu apa yang perlu dilaksanakan tetapi ia perlu diamalkan sebagai kelaziman," katanya lagi.

Noor Hisham juga berkata mereka yang pulih daripada wabak Covid-19 tidak boleh menerima tetamu di tempoh awal pulih, kerana masih perlu menjalani kuarantin selama 14 hari selepas keluar dari hospital.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pesakit yang telah pulih boleh menerima kunjungan ketika musim perayaan nanti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS