Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan parti itu masih sebahagian dalam PH dan akan kekal dalam gabungan itu selagi Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) tidak membuat keputusan sebaliknya.

"Masih (dalam PH), sehingga keputusan untuk keluar dibuat oleh MPT.

"Jika kita mahu keluar, (maka) kita akan keluar," katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita berkenaan status semasa Bersatu, sama ada ia masih dianggap parti komponen PH atau tidak.

Ia susulan kenyataan Mahathir dalam sidang media tersebut bahawa Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membawa parti itu keluar daripada PH tanpa melalui MPT.

Katanya lagi, Muhyiddin juga menyertai Perikatan Nasional, sebuah gabungan longgar untuk menubuhkan kerajaan baru, tanpa kelulusan parti.

"Pertamanya, MPT Bersatu tak pernah buat keputusan untuk keluar daripada PH. Seperti yang kita semua tahu, dalam rakaman (audio) Muhyiddin beri seminggu kepada saya untuk buat keputusan.

"Tetapi sebelum genap seminggu, dia ambil tindakan seolah-olah dia tiada alam PH lagi. Ini bertentangan dengan perlembagaan parti.

"Kita juga dapati bahawa dia buat keputusan tanpa kelulusan MPT dan hari ini diisytiharkan bahawa dia sudah jadi sebahagian daripada PN, yang sebelum ini Umno kata tiada (gabungan) PN.

"Jadi apa yang berlaku ialah Muhyiddin telah menyertai PN sebelum ia ditubuhkan, dan ia dibuat tanpa sebarang keputusan daripada MPT Bersatu," katanya lagi.

Akhir Februari lalu, Muhyiddin bersama-sama bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali, serta sekumpulan anggota Parlimen, bersama Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan beberapa parti kecil, menubuhkan kerajaan baru setelah tumbangnya pentadbiran PH.

Ketika itu, pada 24 Februari, Muhyiddin mengumumkan Bersatu telah meninggalkan PH dan berkata keputusan dibuat ketika satu mesyuarat khas sehari sebelumnya.

Langkah itu mencetuskan krisis dalaman Bersatu, memandangkan Mahathir dan sejumlah anggota parlimen dan pemimpin parti yang menyokongnya enggan mengiktiraf keputusan Muhyiddin.

Krisis itu berterusan dan membawa kepada kewujudan dua setiausaha agung, masing-masing dikaitkan dengan Mahathir dan Muhyiddin.

Ditanya jika Bersatu akan mengambil tindakan terhadap Muhyiddin atas dakwaan membuat keputusan sendiri, Mahathir menjawab: "Kita akan buat keputusan nanti."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS