Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M: PN boleh tumbang dengan mudah jika salah laku didedahkan

Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya mempunyai majoriti tipis di Dewan Rakyat, dan beberapa anggota Parlimen mungkin mengubah sokongan jika pembangkang dapat mendedahkan salah laku gabungan itu.

Bercakap dalam sidang media khas hari ini, beliau yang juga pengerusi Bersatu berkata bahawa inilah antara sebab mengapa pihaknya mahu membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat.

"Soal majoriti bukanlah sesuatu yang tidak akan berubah. Ini pertama kalinya kita mempunyai kerajaan yang hanya mempunyai majoriti yang sangat tipis.

"Sekiranya dua atau tiga daripada mereka beralih dari satu parti ke parti lain, dari kerajaan ke pembangkang, maka kerajaan ini akan jatuh. Ia tidak seperti sebelumnya, di mana kerajaan mempunyai majoriti dua pertiga. Sekarang hanya sebilangan kecil.

"Jadi, kami percaya bahawa jika kami dapat mendedahkan salah laku kerajaan, akal budi akan menang (prevail) dan akan ada beberapa daripada pihak kerajaan yang akan menyokong usul itu," katanya lagi di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini.

Sidang media itu diadakan selepas sidang Dewan Rakyat yang berlangsung hanya sehari, hari ini.

Beliau menjawab soalan berkenaan sama ada Bersatu dan pembangkang lain mempunyai bilangan sokongan yang cukup untuk undi tidak percaya.

Dalam pada itu, Mahathir berkata setiap anggota Parlimen ada hak untuk membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat, tanpa mengambil kira ia akan berjaya atau tidak.

"Saya cuba untuk masukkan usul undi tidak percaya dalam persidangan ini tapi jelas sekali bahawa kerajaan tak benarkan saya untuk bercakap tentang hal ini.

"Kononnya kerana epidemik (Covid-19), tapi tadi saya nampak keadaan (di Dewan Rakyat) cukup elok. Bersidang sehari pun tidak apa," katanya merujuk kepada keputusan kerajaan untuk memendekkan persidangan Dewan Rakyat kepada satu agenda sahaja.

Menurut Dewan Rakyat, kerajaan mengarahkan sidang hari ini disngkatkan kepada titah diraja oleh Yang di-Pertuan Agong sahaja, bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Menurut Mahathir, beliau mahu membawa usul itu kerana mendakwa Muhyiddin bertindak "sesuka hatinya".

Beliau mendakwa Muhyiddin telah berubah daripada seorang yang komited untuk menjatuhkan pentadbiran Najib kepada orang yang bekerjasama dengan kalangan daripada pentadbiran lalu.

"Kita lihat bahawa prestasi perdana menteri ini tak baik bagi negara, maka kita berhak sebagai parti lawan untuk usulkan undi tak percaya terhadap perdana menteri yang setakat ini tak pegang pada janji-janjinya.

"Kalau dulu tak nak kerjasama dengan pencuri dan penyamun, sekarang ini bukan hanya mempunyai orang sebegini dalam kerajaan, tapi nampak ada layanan yang baik kepada orang yang dahulu lakukan jenayah," katanya lagi.

Beliau mendakwa Muhyiddin juga tidak berpegang kepada janjinya untuk membantu peniagaan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS