Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lepas Riza Aziz jejas imej negara, kata pembangkang

Pemimpin-pemimpin pembangkang berkata keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak, Riza Aziz menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa.

"Ahli-ahli parlimen dari Pakatan Harapan, Bersatu, Warisan dan Upko hari ini menjunjung setinggi-tinggi kasih ke atas Yang Di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ahmad Shah yang berkenan bercemar duli menyampaikan titah diraja kepada majlis parlimen pagi ini.

"Kami menyanjung tinggi titah Tuanku yang khuatir dengan budaya rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa kerana ia mampu merencat pembangunan serta merosak imej negara di peringkat antarabangsa.

"Sepertimana kes yang membabitkan Riza Aziz di mana keputusan untuk membebaskannya akan memperlihatkan bahawa kita tidak serius menangani gejala tersebut. Kes ini telah menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa," kata kenyataan bersama.

Kenyataan itu dikeluarkan atas nama Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Pengerusi Bersatu Dr Mahahir Mohamad, Presiden Warisan Shafie Apdal, Presiden Upko Madius Tangau dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Mereka berkata akan memainkan peranan semak dan imbang demi memastikan dasar-dasar seperti Wawasan Kemakmuran Bersama, pelan antirasuah, pembangunan prasarana kritikal terutama di Sabah dan Sarawak, isu kemiskinan dan jurang ekonomi antara wilayah diusahakan sebaik mungkin.

Pada 14 Mei, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Riza daripada lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.25 bilion) yang dikaitkan dengan dana 1MDB.

Hakim Azman Ahmad membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan dan tertuduh mencapai persetujuan untuk DNAA susulan beberapa representasi difailkan tertuduh terhadap pertuduhan dihadapinya.

Kerajaan dijangka menerima semula aset dari luar negara dengan nilai anggaran AS$107.3 juta (RM465.3 juta) hasil persetujuan dicapai di antara pihak pendakwaan dan Riza.

Sementara itu, ahli parlimen juga menekan pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu diberi tumpuan khusus.

"Kami juga berharap isu Covid-19 terutamanya berkaitan dengan pakej rangsangan dapat diberi tumpuan khusus di mana banyak laporan berlakunya ketirisan dan ini menyebabkan bantuan ini tidak sampai kepada golongan sasar.

"Perkara ini amat merisaukan kerana ia membabitkan golongan yang amat memerlukan bantuan pada ketika ini dan kami merasakan ia perlu dibahaskan seberapa segera," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS