Paling Popular
Terkini

Perbicaraan kes pengubahan wang haram RM7.09 juta melibatkan Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Nazak, pada Mei dan Julai ini dibatalkan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu bagi memberi laluan terhadap perbicaraan kes rasuah Rosmah dalam projek solar hibrid untuk sekolah-sekolah di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Hakim memaklumkan perkara itu kepada Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tian dan peguam bela Geethan Ram Vincent di mahkamah terbuka pagi ini.

Perbicaraan kes itu sepatutnya bersambung pada 29 dan 30 April lalu tetapi tidak dapat dijalankan sebelum ini susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Dilaporkan prosiding itu akan berlangsung pada 9 hingga 11 Jun, 6 hingga 9 Jun, 13 hingga 16 Julai dan 20 hingga 23 Julai.

Mahkamah mula beroperasi peringkat demi peringkat mulai 13 Mei lalu.

“Oleh kerana PKP, semua tarikh jadi lintang pukang. Keutamaan pada kes solar yang sepatutnya sudah diputuskan tetapi tidak dapat ditamatkan susulan PKP.

“Kes solar ditetapkan untuk pengurusan kes pada Rabu, untuk menetapkan tarikh bicara.

“Tak masuk akal kes itu dibicarakan berasingan dan kes kamu (pengubahan wang haram) berasingan.

“Lebih baik kes itu (rasuah) diselesaikan dulu,” kata Zaini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS