Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Jiwai keluh kesah rakyat yang berdepan situasi sukar Covid-19’
Diterbitkan:  May 18, 2020 11:34 AM
Dikemaskini: 4:23 AM

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan pemimpin politik supaya tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik tidak menentu ketika rakyat berdepan situasi sukar penularan pandemik Covid-19.

Titah baginda, wakil rakyat perlu mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan menjiwai keluh kesah rakyat ketika ini.

"Ahli-ahli yang berhormat hendaklah sentiasa mempamerkan kematangan dalam berpolitik, termasuklah menjiwai keluh kesah rakyat.

"Jangan mengheret sekali lagi negara ke kancah politik tidak menentu ketika rakyat jelata berdepan pelbagai masalah dan masa depan sukar akibat pandemik Covid-19," titah baginda ketika menyampaikan titah diraja pada istiadat pembukaan Dewan Rakyat hari ini.

Nasihat baginda ditujukan kepada anggota parlimen merujuk kepada kemelut politik negara berlaku pada Feb tahun ini.

Pada 24 Feb lalu, Bersatu mengumumkan keputusan untuk keluar daripada Pakatan Harapan (PH) yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PH.

Susulan itu, Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad mengambil keputusan meletak jawatan selaku perdana menteri ketujuh.

Kemelut itu menyaksikan Istana Negara memanggil kesemua pemimpin parti politik dan anggota parlimen bagi menentukan calon perdana menteri.

Pada 1 Mac Muhyiddin Yassin diangkat sebagai perdana menteri Malaysia kelapan selepas mendapat sokongan majoriti anggota parlimen.

Muhyiddin membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama BN, PAS, GPS dan parti dari Sabah bagi membentuk kerajaan baru menggantikan PH.

Dalam titahnya juga, Yang di-Pertuan Agong meminta wakil rakyat supaya membudayakan politik yang bersih dan tidak menyentuh sensitiviti agama dan bangsa serta kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Baginda menyeru supaya perpaduan negara dimulakan di Dewan Rakyat oleh anggota parlimen untuk diteladani rakyat di luar sana.

"Sesungguhnya perpaduan dan keharmonian bermula di dalam dewan yang mulia ini, beta yakin rakyat akan terus erat bersatu padu dan sepakat dalam membangunkan negara jika rakyat tidak disogok dengan api permusuhan dan perpecahan.

"Justeru berbahaslah dengan penuh tanggungjawab, sentiasalah menunjukkan kematangan politik yang positif untuk dicontohi rakyat jelata," titah baginda.

Sebelum mengakhiri titah diraja, baginda turut berpesan supaya rakyat Malaysia menjaga kesihatan diri ketika berdepan wabak Covid-19.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS