Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

LANGSUNG | Sidang Dewan Rakyat hari ini akan menyaksikan majlis pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-14 itu hanya berlangsung seketika.

Daripada dijadual selama sehari, ia kemudian dipendekkan untuk mendengar titah diraja Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ahmad Shah.

Sidang hari ini menarik perhatian ramai kerana ia merupakan yang pertama sejak Langkah Sheraton berlangsung dan menyaksikan kemunculan Perikatan Nasional - sebuah gabungan tidak berdaftar - menggantikan Pakatan Harapan sebagai kerajaan.

Sidang pertama ini sepatutnya diadakan antara 9 Mac hingga 16 April lalu tetapi ditangguhkan kerana negara berdepan ancaman wabak Covid-19.

LANGSUNG 

11.20 pagi: Wartawan Kwong Wah Yit Poh, Tan Zhi Wei, pitam semasa membuat liputan dalam cuaca panas terik di luar bangunan parlimen.

Bagaimanapun dia kembali sedar kira-kira lima minit kemudian dan dibawa ke keretanya sejurus kemudian.

Menurut Tan, 31, dia tidak mengambil bersarapan sebelum memulakan tugas pagi ini dan cuaca panas mungkin menyumbang kepada keadaannya.


11.00 pagi: Agong kelihatan meninggalkan kawasan parlimen sejurus selepas menamatkan titahnya. Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyusul kira-kira lima minit kemudian.

Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad, dan Najib Razak (Pekan) turut pulang sejurus selepas itu. 


10.55 pagi: Sultan Abdullah Ahmad Shah menasihatkan pemimpin politik supaya tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik tidak menentu ketika rakyat berdepan situasi sukar Covid-19.

Baginda menasihatkan wakil rakyat supaya mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan menjiwai keluh-kesah rakyat ketika ini.

"Beta menasihati agar tidak mengheret negara ke kancah politik tidak menentu ketika rakyat jelata berdepan pelbagai masalah dan pandemik Covid-19," titah baginda.

Persidangan kemudian ditangguhkan selepas baginda menamatkan titah diraja.


10.45 pagi: Yang Di-Pertuan Agong meyentuh beberapa dasar kerajaan termasuk berkaitan sosial, pertanian, alam sekitar dan pelancongamn.

Baginda kemudian bertitah mengenai amalan rasuah dan menggesa kerajaan meneruskan pelaksanaan Pelan Antirasuah Kebangsaan bagi memastikan agenda pembangunan negara tidak dicemari dengan salah guna kuasa.

Baginda juga menggesa agar kerajaan menekankan ke dalam minda masyarakat sejak dari bangku sekolah bahawa rasuah adalah amalan yang menjijikkan dan mesti ditentang.

Kenyataan itu disambut dengan bunyi gemuruh tepukan meja oleh ahli parlimen pembangkang.


10.40 pagi: Untuk sebahagian besar kerjaya politiknya Dr Mahathir Mohamad sentiasa duduk di bahagian kanan speaker dewan. Hal itu kerana beliau menjadi anggota kerajaan, sama ada sebagai wakil rakyat Umno atau pemimpin Pakatan Harapan (PH) selepas PRU ke-14 lalu.

Bagaimanapun pada hari ini ahli parlimen Langkawi itu berada bersama blok pembangkang.

Mahathir ditempatkan di blok D dan hampir betul-betul berdepan dengan speaker dan di belakang bentara dewan.

Pada masa sama sebahagian besar ahli parlimen Bersatu berada di blok kerajaan.


10.35 pagi: Agong menyatakan rasa bimbangnya terhadap perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Titah baginda, isu provokasi kaum dan fahaman nilai yang bertentangan dengan adat perlu bendung sebelum merebak dan menjadi parah.

"Beta menyambut baik Pelan Tindakan Perpaduan Negara bagi memastikan agenda perpaduan nasional boleh diterapkan secara menyeluruh," titah baginda.  


10.30 pagi: Tidak seperti selalu susunan tempat duduk anggota parlimen sangat berbeza pada hari ini. Berdasarkan pelan lantai dan gambar yang dirakamkan, semua anggota parlimen dipisahkan oleh satu kerusi antara satu sama lain.

Keadaan ini bermakna, sebahagian daripada mereka perlu duduk di galeri awam.

Berdasarkan pelan lantai jumlah pengagihan kerusi adalah: 

  • 114 anggota parlimen kerajaan
  • 107 anggota parlimen Pakatan Haparan
  • Seorang anggota parlimen bebas 


10.27 pagi: Agong berkata baginda menerima peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dengan perasaan dukacita dan cuba memujuk ahli parlimen Langkawi itu agar mengubah pendirian namun gagal.

Baginda juga bertitah selepas mendapati Muhyiddin Yassin mendapat sokongan majoriti anggota parlimen baginda memilih anggota parlimen Pagoh itu sebagai perdana menteri baru.


10.25 pagi: Selepas membuka pelitup muka Agong memulakan titah ucapan diraja dan menyentuh mengenai wabak Covid-19.

Baginda juga memberi penghargaan kepada petugas barisan depan dan meminta semua anggota dewan memberi penghormatan kepada mereka.

Semua anggota parlimen dan sentor kemudian berdiri dan memberikan tepukan sebagai tanda penghargaan.


9.56 pagi: Yang di- Pertua Agung tiba di pekarangan parlimen bersama 10 anggota polis pengiring.

Baginda turun dari kenderaannya dan disambut Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof dan Speaker Dewan Negara S Vigneswaran.

Selepas Negaraku berkumandang mereka kemudian memasuki bangunan Parlimen.


9.25 pagi: Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tiba bersama pengiringnya.

Beliau melambaikan tangannya kepada petugas media sebelum memasuki parlimen namun tidak menghentikan kenderaan untuk berbicara dengan wartawan.

Lima minit kemudian seorang lagi bekas perdana menteri, Najib Razak, pula memasuki kawasan parlimen.

Ada lebih 50 wakil media bertugas membuat liputan dari pembahagi jalan dan bahu jalan hari ini.


9.10 pagi:  Ketua Whip Pakatan Harapan, Johari Abdul, tiba dan beliau sempat menurunkan cermin tingkap kereta untuk memberi salam kepada media yang bertugas.

Beliau juga berharap sidang hari ini akan berlangsung dalam suasama yang aman.

"Mudah-mudahan," jawabnya ketika ditanya apakah harapannya kepada sidang hari ini.

Johari bagaimanapun menegaskan bahawa PKR tidak berpuas hati dengan agenda persidangan parlimen hari ini.


9.10 pagi:  Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah dilihat berulang kali memberi ingatan kepada pengamal media supaya menjaga jarak antara satu sama lain ketika berkumpul di pinggir jalan raya.

Dia turut memberi amaran kepada media bahawa mereka boleh ditangkap jika didapati berada dalam kawasan jalan raya.

Untuk tempoh yang lama, ini adalah kali pertama sebilangan besar wartawan dan jurugambar hanya dibenarkan berada di luar parlimen ketika ia bersidang.

Hanya petugas RTM dan Bernama saja yang diizinkan masuk. Peraturan menyatakan bahwa mereka hanya boleh beroperasi dari ruang media rasmi, yang disebut oleh wartawan Parlimen sebagai "kubu bawah tanah".


9 pagi: Wartawan dan jurugambar hanya dibenarkan berada kira-kira 300 meter dari pintu masuk bangunan. 

Beberapa kakitangan dan anggota Dewan Rakyat mula dilihat tiba.


Bekas perdana menteri yang juga pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad, mengemukakan usul tidak percaya kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri. 

Bagaimanapun usul itu tidak akan dibentang atau dibahaskan kerana sidang hari ini hanya diadakan untuk mendengar titah diraja.

Untuk kali pertama hampir 300 anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan menghadirinya dalam keadaan masing-masing memberikan tumpuan kepada penjarakan sosial.

Hanya media rasmi dibenarkan memasuki bangunan parlimen untuk membuat liputan berkenaan.

Malaysiakini akan membawakan liputan secara langsung majlis berkenaan dari pintu masuk parlimen. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS