Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tindakan keluar parti tak gugat PKR Sarawak'
Diterbitkan:  May 17, 2020 8:51 PM
Dikemaskini: 12:53 PM

Tindakan sekumpulan pemimpin PKR Sarawak keluar parti sudah dijangka namun ia tidak memberi kesan kepada parti itu, kata ketua penerangan dan komunikasi PKR Sarawak, Abun Sui Anyit.

"Keadaan itu tidak menghairankan dan tidak akan menggugat keutuhan Keadilan (PKR) Sarawak kerana merupakan proses biasa yang berlaku apabila terdapat mereka yang tidak lagi dapat mengikut garis panduan dan disiplin yang ditentukan oleh perlembagaan dan kepimpinan utama parti," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa urusan PKR di negeri itu diputuskan oleh PKR pusat dan menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas.

"Kepimpinan utama MPN (Majlis pimpinan negeri) Sarawak sebelum ini yang telah khianat kepada parti telah diberi ruang seluas-luasnya untuk memimpin Keadilan Negeri Sarawak tanpa diganggu oleh pemimpin pusat untuk membuat keputusan bagi pihak Keadilan Sarawak," kata Abun.

Selain itu Abun berkata,  PKR Sarawak juga membuat keputusan sendiri secara autonomi dan bukan diputuskan oleh PKR  pusat.

Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa pelantikan Larry Sng sebagai Pengerusi PKR negeri dibuat secara terus oleh keluarga Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

"Sebenarnya pelantikan dibuat berdasarkan perlembagaan parti di mana Datuk Seri Anwar sebagai presiden telah berunding dengan ketua- ketua cabang yang hadir mesyuarat pada 8 Mac sebelum melantik calon yang mendapat undi terbanyak," jelasnya.

Abun berkata PKR menyingkirkan pemimpin dan anggota partinya kerana melanggar disiplin dan bukan kerana terdapat perbezaan pendapat dalam parti.

PKR sebelum ini dilapor mengambil tindakan terhadap pemimpin parti dan ahlinya yang didakwa bersekongkol dengan bekas timbalan presiden, Azmin Ali.

Mereka yang dipecat termasuk Ketua PKR Sarawak, Baru Bian; Anggota Parlimen Saratok Ali Biju; Anggota Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Adun Batu Lintang, See Chee How.

Pemecatan See yang juga ketua cabang Stampin mendorong tindakan keluar parti beramai-ramai sebagai tanda protes daripada keseluruhan ahli jawatankuasa PKR Stampin, ketua PKR Mas Gading, Boniface Willy Tumek dan timbalan ketua, Francis Teron Kadap,

Minggu lalu, Sng berkata beliau menjangkakan peletakan jawatan besar-besaran dari akar umbi merangkumi Mas Gading, Bandar Kuching, Stampin, Petra Jaya, Kanowit, Lanang, Lubok Antu dan Bintulu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS