Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ibu harap Sanusi laksana tugas dengan ikhlas, jujur

Ibu kepada Menteri Besar Kedah baharu, Muhammad Sanusi Md Nor mengharapkan anak ketujuhnya daripada 13 beradik itu dapat melaksanakan tugas dengan penuh ikhlas dan jujur dalam mentadbir kerajaan negeri ini.

Meriam Ahmad, 70, berkata beliau sentiasa menyokong dan merestui Muhammad Sanusi yang disifatkannya sebagai anak yang tegas dan lantang bersuara.

“Saya berasa seronok apabila dapat tahu anak saya dilantik menjadi Menteri Besar...semoga dia sentiasa mendapat keredaan Allah SWT,” katanya kepada pemberita di Kompleks PAS Kedah dekat sini, hari ini.

Meriam berkata Muhammad Sanusi sememangnya telah menunjukkan minat terhadap politik sejak muda lagi dan telah melanjutkan pengajian tinggi dalam jurusan sains politik di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

“Saya sudah sedia maklum dengan kesibukannya. Anak saya (Muhammad Sanusi) pun ada memberitahu bahawa dia ada tanggungjawab yang besar kepada rakyat sebagai ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Jeneri dan sibuk dengan kerjanya sebagai ADUN sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, isteri kepada Menteri Besar, Jusmalailani Jusoh, 46, berkata beliau yakin Muhammad Sanusi dapat menjalankan tugas dengan baik dan boleh membahagikan masa dengan cekap sebagai ketua keluarga dan wakil rakyat.

“Sebelum ini, saya sudah terbiasa dengan suami yang sentiasa sibuk dan selepas ini sebagai Menteri Besar, saya tahu suami akan sibuk lagi. Apa pun sebagai isteri, saya akan sentiasa memberikan sokongan penuh kepadanya,” kata Jusmalailani yang juga seorang guru.

Muhammad Sanusi, 46, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-14 di Wisma Darul Aman, di Alor Setar hari ini selepas Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah memperkenankan pelantikan ADUN Jeneri itu sebagai Menteri Besar.

Pelantikan itu dibuat mengikut peruntukan di bawah Perkara 35 dan 37(2)(a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah selepas Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah itu mendapat sokongan majoriti ADUN.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS