mk-logo
Berita
Pelajar pascasiswazah kini boleh sambung penyelidikan di kampus
Diterbitkan:  May 17, 2020 4:50 PM
Dikemaskini: 8:52 AM

Kerajaan kini membenarkan pelajar pascasiswazah untuk menyambung semula penyelidikan di kampus.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata ia terhad kepada pelajar yang perlu melakukannya di makmal, bengkel atau studio, atau memerlukan peralatan khas.

“Semalam, mesyuarat khas menteri-menteri mengenai pelaksanaan PKP (perintah kawalan pergerakan) meluluskan cadangan yang dibentangkan oleh kementerian pengajian tinggi (KPT) berkenaan pengendalian aktiviti akademik di kampus semasa dan pasca PKP.

“Kebenaran ini melibatkan 31,503 pelajar di 462 IPT...Dengan anggaran 60 pelajar untuk satu insitut. Jadi bukan satu jumlah tinggi,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun sekolah di semua tahap masih tidak boleh dibuka, katanya.

Beliau ditanya berkenaan gesaan sekolah swasta untuk dibuka sewaktu tempoh PKP bersyarat.

"Sekolah termasuk dalam senarai tidak boleh buka, larangan ini juga termasuk untuk sekolah-sekolah antarabangsa.

"Jika ada laporan (berkenaan sekolah dibuka), Kementerian Pendidikan akan menyiasat dan jika benar mereka buka sekolah-sekolah tersebut, kita akan arahkan ia ditutup,” katanya lagi.

Begitu juga dengan pusat hiburan dan kelab malam yang masih tidak dibenarkan untuk menyambung operasi, katanya.

Katanya lagi, tidak ada kompromi terhadap perkara tersebut dan pihak berkuasa tempatan perlu mengambil tindakan untuk menutup pusat tersebut jika didapati beroperasi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS