Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kadir: Muhyiddin 'mungkir janji', Bersatu jadi 'pemain biola nombor 3'
Diterbitkan:  May 17, 2020 3:32 PM
Dikemaskini: 7:56 AM

Dengan peralihan jawatan menteri besar di Kedah hari ini, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin didakwa kian jelas "memungkiri janji" dibuatnya kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, kata salah seorang anggota badan itu.

Menurut A Kadir Jasin, dengan peletakan jawatan Mukhriz Mahathir pagi ini Kedah merupakan negeri terkini yang 'terlepas' daripada kawalan Bersatu sebagai menteri besar.

Negeri pertama yang mengalami pertukaran begitu, kata Kadir, ialah negeri Muhyiddin sendiri iaitu Johor.

"Dengan penyingkiran Mukhriz di Kedah itu maka makin jelaslah bahawa Muhyiddin memungkiri janji kepada MPT pada 23 Februari lalu untuk menjadikan Bersatu parti induk Perikatan Nasional (PN)," katanya dalam satu kemas kini hantaran di Facebook petang ini.

Kadir yang sebelum ini menjadi penasihat media dan komunikasi kepada Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad, menambah dalam mesyuarat MPT itu Muhyddin berjanji "...keluar daripada PH dan berpindah kepada campuran tetapi masih dalam kerajaan... dipimpin oleh Bersatu."

Dalam keadaan sekarang, kata Kadir, pemimpin Bersatu diperlakukan tidak lebih daripada melukut di tepi gantang oleh Umno berbanding sewaktu dalam PH dulu apabila mereka dihormati serta berpengaruh.

"Tengok sajalah apa yang berlaku di Perak dan Melaka. Perwakilan Bersatu hanyalah untuk ambil syarat saja," katanya.

Tak diiktiraf Umno, PAS

Untuk rekod selepas memenangi pilihan raya umum 2018 lalu bersama PH, Bersatu mengetuai kerajaan negeri di Johor, Perak dan Kedah. Bagaimanapun melalui Langkah Sheraton yang digerakkan oleh Muhyiddin dan Azmin Ali, ia menyaksikan perubahan kerajaan berlaku dan muncul Perikatan Nasional - sebuah gabungan tidak rasmi dan tidak berdaftar.

Di Johor jawatan menteri besarnya kini disandang Umno. Di Kedah pula jawatan menteri besar akan disandang oleh PAS. Di Perak jawatan menteri besar masih disandang oleh Bersatu namun susukan exconya dikuasai Umno dan PAS.

Kadir berkata selepas dua setengah bulan kerajaan PH ditumbangkan melalui proses yang tidak demokratik, apa tinggal daripada Bersatu hanyalah Muhyiddin sebagai perdana menteri.

"Yang berkuasa dan menentukan agenda serta naratif kerajaan serta mengusai saluran komunikasi adalah panglima-panglima perang Umno dengan sekutu mereka dalam Muafakat Nasional iaitu PAS," katanya.

Muhyiddin juga, kata Kadir, berjaya memenuhi cita-cita terpendamnya untuk menjadi perdana menteri, manakala Azmin dapat menyekat Anwar Ibrahim daripada menjadi perdana menteri.

"Bersatu menjadi pemain biola nombor tiga dalam kerajaan PN yang tidak pun diiktiraf oleh Umno dan PAS," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS