Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Liew Vui Keong berkata beliau tiada pilihan selain mempertimbang tindakan undang-undang terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana nenafikan hak rakyat untuk mengetahui sama ada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mendapat sokongan majoriti di Parlimen atau tidak.
Ini selepas kerajaan memutuskan untuk menjalankan sidang Dewan Rakyat selama sehari esok, dan hanya untuk titah diraja Yang di-Pertuan Agong.
PH sebelum ini mendesak agar persidangan itu dilanjutkan, dan Liew juga telah menghantar usul agar ia dibuat selama lapan hari.
PN bagaimanapun menolaknya atas dasar ia mendedahkan risiko penularan Covid-19 di kalangan anggota Parlimen.
Anggota Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad juga telah menghantar usul tidak percaya ke atas Muhyiddin yang diterima oleh speaker Mohamad Ariff Md Yusof.
"Kami tidak akan melihat begitu sahaja kerajaan 'memusnahkan' perlembagaan.
"Kita semua mempunyai kewajipan untuk memastikan perlembagaan kita tidak 'dirampas' oleh kerajaan pintu belakang ini. Mereka (PN) telah menafikan hak saya dan Parlimen saya untuk mendengar usul saya," katanya dalam ucapan yang disiarkan di laman Facebook PH semalam.
Liew turut menekankan kepentingan untuk Dewan Rakyat menentukan Muhyiddin benar-benar mempunyai sokongan majoriti anggota Parlimen.
"Sekiranya Pagoh mempunyai sokongan majoriti, maka dia dapat terus membentangkan Rang Undang-undang dan urusan lain.
"Jika tidak, dia tidak dapat memberitahu dunia bahawa dia perdana menteri Malaysia. Dia harus membuktikannya di Dewan Rakyat terlebih dahulu," katanya lagi.
Katanya lagi, kerajaan PN berisiko melanggar Perlembagaan Persekutuan dengan menangguhkan sidang Dewan Rakyat selama lebih daripada enam bulan.
Sidang terakhir diadakan pada Disember tahun lalu.
"Sekarang persoalannya, pada 18 Mei, hanya akan ada titah diraja. Bahagian kedua sidang akan diadakan pada bulan Julai.
"Ini bermaksud sidang dilakukan secara berperingkat, bermulai Mei dan disambung semula pada Julai.
"Bolehkah mereka melangkaui tempoh enam bulan?" soalnya.
Untuk rekod, Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Parlimen wajib bersidang dalam tempoh enam bulan selepas sesi Parlimen terakhir.
'Penting luluskan undang-undang berkenaan Covid-19'
Sementara itu, Liew yang juga anggota Parlimen Batu Sapi berkata walaupun kerajaan menggunakan wabak Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP) sebagai alasan mengadakan sidang sehari saja, banyak persoalan berkenaan peraturan seputar isu itu dibangkitkan.
"Apakah (takrifan) penjarakan sosial di Malaysia? Tidak ada undang-undang untuk menjelaskannya.
"Di Singapura, mereka sudah meluluskan undang-undang untuk menakrifkan apa itu penjarakan sosial.
“Jika tidak ada undang-undang berkenaan penjarakan sosial, bagaimana anda boleh meminta polis menahan orang ramai kerana tidak mematuhinya? Anda tidak boleh berbuat demikian," katanya.
Liew juga mempersoalkan kesahan PKP selepas mendapati Covid-19 tidak disenaraikan Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit secara rasmi.
"Isu PKP dipersoalkan sama ada ia sah atau tidak (di sisi undang-undang).
“Saya rasa ia (PKP) tidak sah dan ini adalah sesuatu yang saya mahu bawa ke mahkamah.
“Saya telah periksa Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, tidak jelas sama ada mereka telah takrifkan Covid-19 sebagai penyakit berjangkit dalam jadual itu.
"Saya telah semak laman web Jabatan Peguam Negara sama ada mereka telah mewartakannya atau tidak, tapi tidak ada," katanya lagi.