Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP bakal hadir sidang parlimen Isnin ini diuji negatif Covid-19

Semua MP yang bakal hadir sidang Dewan Rakyat pada Isnin 18 Mei 2020 telah diuji negatif Covid-19 selepas mereka menjalani saringan minggu ini, maklum Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Noor Hisham berkata sebanyak 750 ujian telah dibuat, termasuk terhadap MP, pekerja parlimen dan speaker Dewan Rakyat.

"Kita telah laksanakan ujian untuk anggota parlimen. Semalam adalah tarikh terakhir, bukan saja MP, tetapi warga kerja parlimen.

"750 kes telah disaring dan diuji, keputusan setakat ini tiada yang positif," kata beliau kepada media pada sidang akhbar harian KKM di Putrajaya.

Sebelum ini, beberapa MP diuji positi Covid-19. Mereka termasuklah MP Kota Samrahan Rubiah Wang, MP Sarikei Andrew Wong dan MP Bandar Kuching Kelvin Yii.

Bagaimanapun, sidang parlimen awal minggu depan ini akan berlangsung selama satu hari sahaja. Ini kali pertama Dewan Rakyat bersidang sejak pertukaran pemerintahan daripada Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional.

Sidang parlimen Isnin ini hanya akan mendengar titah Yang Di-Pertuan Agong pada pukul 10 pagi dan dijadualkan berakhir sejurus selepas itu.

Rancangan Anggota Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad untuk mengemukakan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak akan menjadi kenyataan berikutan perubahan agenda.

Keputusan sidang parlimen selama satu hari telah mencetuskan kritikan daripada MP pembangkang yang mendesak supaya Dewan Rakyat bersidang lebih dari satu hari.

PH terus-menerus menggesa sidang itu diperpanjang, dengan bekas menteri undang-undang Liew Vui Keong mengemukakan usul darurat bagi memperpanjangnya hingga lapan hari, namun PN memutuskan memanjangkan sidang Dewan Rakyat dapat menimbulkan risiko penularan Covid-19.

[Baca berita penuh]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS