Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Covid-19 jangkiti 317 kanak-kanak di M'sia
Diterbitkan:  May 16, 2020 5:36 PM
Dikemaskini: 9:46 AM

Terdapat 317 kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah yang dijangkiti Covid-19.

Data dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan 46 peratus daripada 147 kanak-kanak yang dijangkiti berusia enam tahun atau lebih muda.

Selangor mencatat kes tertinggi di kalangan kanak-kanak, dengan 77 jangkitan, diikuti oleh Negeri Sembilan (48), dan Johor (46).

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini tiada kematian kanak-kanak yang dilaporkan dan tidak ada kes yang sakit tenat.

Bagaimanapun, beliau berkata bayi dan kanak-kanak, sebagaimana warga emas berisiko lebih tinggi mendapat jangkitan Covid-19.

Jelasnya, jangkitan itu mungkin tersebar oleh orang dewasa dan ahli keluarga yang lain.

"Kita terdedah dalam masyarakat. Setiap kali kita balik rumah kita bawa virus dan kita boleh menjangkiti warga emas dan kanak-kanak dalam musim perayaan.

"KKM bimbang iaitu kita bawa virus pulang ke kampung, menjangkiti warga emas dan kanak-kanak," kata beliau lagi pada sidang media harian KKM di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham berkata selain memberi kesan terhadap paru-paru, kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 berisiko terkena penyakit Kawasaki, yang menyebabkan radang saluran darah.

Orang dewasa yang pulang dari luar ke rumah, jelas beliau mesti mengambil langkah berjaga-jaga, seperti mandi terlebih dahulu atau membersihkan tangan sebelum berinteraksi dengan kanak-kanak.

Menurut Noor Hisham ibu bapa dan penjaga juga perlu mendidik anak-anak mengenai kepentingan mencuci tangan, menjaga kebersihan dan selalu memakai pelitup muka di khalayak ramai, terutama di kawasan sesak.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob telah memberi amaran kepada ibu bapa agar tidak membawa anak-anak mereka ke pusat membeli-belah bagi mengelakkan mereka terdedah kepada bahaya dijangkiti Covid-19.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS