Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Malaysia hampir setaraf Korea Selatan dalam laksana ujian Covid-19
Diterbitkan:  May 16, 2020 3:55 PM
Dikemaskini: 7:55 AM

Pendekatan agresif Korea Selatan terhadap ujian Covid-19 mendapat pujian banyak negara dan sering dilihat sebagai model dalam pelaksanaan proses ujian itu.

Berdasarkan sistem laporan terbaru, Malaysia kini hampir berada pada tahap yang sama dengan Korea Selatan berhubung beberapa perkara utama pada ujian Covid-19.

Sehingga tengah hari semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) mengatakan Malaysia telah melakukan 424,306 ujian, dengan 6,855 (1.62 peratus) dikesan positif dan 417,451 (98.38 peratus) negatif.

Memandangkan penduduk Malaysia seramai 32.73 juta, termasuk bukan warganegara, ini bermakna 13.0 dari 1,000 orang telah diuji untuk Covid-19, di mana 0.21 dari 1,000 orang yang diuji positif.

Ini bermakna, sebanyak 61.90 ujian diperlukan untuk mengesan satu kes Covid-19. Ini juga menunjukkan bahawa wabak ini jarang menjangkiti populasi  ataupun proses ujian menyasarkan segmen populasi yang salah.

Sekitar satu kes telah ditemui untuk setiap 10 ujian yang dilakukan pada akhir bulan Mac, menurut data yang dikumpulkan oleh laman web Our World in Data. Ia hampir tidak memenuhi petunjuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk ujian yang mencukupi.

Ketika itu, Malaysia baru sahaja memulakan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dalam menghadapi peningkatan kes Covid-19.

Angka baru mengenai jumlah ujian yang dilakukan dinyatakan selepas KKM membentuk pangkalan data berpusat pada April untuk memperkemaskan laporan berhubung data ujian Covid-19 dari makmal yang berbeza.

Data baru itu dimasukkan ke dalam laporan harian kementerian semalam, menjadikan jumlah orang yang diuji meningkat dari 297,342 pada hari sebelumnya kepada 424,306.

Sebelum ini, kemudahan ujian yang dijalankan oleh universiti, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, hospital tentera dan makmal swasta tidak melaporkan data ujian itu secara seragam, walaupun mereka diwajibkan oleh undang-undang untuk melaporkan sebarang keputusan positif dari ujian Covid-19 kepada KKM.

Data baru itu hadir selepas ramai majikan yang memerlukan pekerja mereka menjalani ujian Covid-19 sebelum kembali bekerja. Ujian tersebut tidak diwajibkan kecuali untuk pekerja warga asing, tetapi ia diberikan percuma untuk pencarum Perkeso.

Sementara itu, Korea Selatan telah melakukan lebih banyak ujian daripada Malaysia, tetapi perlu diambil kira negara itu mempunyai populasi lebih besar iaitu 51.78 juta orang.

Menurut Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit Korea (KCDC), negara tersebut telah melakukan 722,302 ujian termasuk di makmal swasta, di mana 11,037 (1.53 peratus) memberikan keputusan positif.

Dengan mengandaikan bahawa setiap orang hanya diuji sebanyak sekali, ini bermakna Korea Selatan telah menguji 13.95 dalam setiap 1,000 orang, berbanding dengan Malaysia, iaitu 13.00 dalam 1,000 orang.

Korea Selatan melakukan 65.44 ujian untuk mencari setiap kes Covid-19, berbanding Malaysia iaitu 61.90 ujian.

Bagaimanapun, angka-angka ini tidak bermaksud Malaysia atau Korea Selatan berada di hadapan di peringkat global dalam ujian ini.

Dari segi liputan ujian, Iceland telah menguji 162.89 sampel bagi setiap 1,000 orang, menurut data terkini oleh Our World in Data, sementara Singapura telah menguji 38.33 orang dalam setiap 1,000 orang.

Bagaimnapun, laman web tersebut memberitahu bahawa data tersebut mungkin tidak dapat dibandingkan secara langsung kerana standard pelaporan yang digunakan di negara yang berlainan, seperti angka mengenai jumlah individu yang telah diuji atau jumlah ujian yang dilakukan.

Sebagai perbandingan, AS telah melakukan 30.14 ujian setiap 1,000 orang, tetapi kerana berdepan dengan jumlah wabak yang besar, satu kes dikesan untuk setiap 7.5 ujian yang dilakukan.

Di UK, negara itu telah melakukan 23.48 ujian bagi setiap 1,000 individu dan mengesan satu kes Covid-19 bagi setiap 9.7 ujian yang dilakukan.

Pusat MRC untuk Analisis Penyakit Berjangkit Global di Imperial College London menganggarkan bahawa AS hanya melaporkan 22.1 peratus daripada jumlah kes sebenar, manakala UK melaporkan 13.1 peratus.

Anggaran itu diperoleh dari jumlah kematian yang berkaitan dengan Covid-19 yang dilaporkan di kedua-dua negara, tetapi dikatakan bahawa angka tersebut kemungkinan terlalu rendah.

Namun, tiada anggaran terkini untuk Malaysia, kerana Malaysia tidak memenuhi definisi negara yang mempunyai penyebaran Covid-19 yang aktif.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS