Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ujian saringan pekerja: MTUC gesa k'jaan beri garis panduan lebih jelas
Diterbitkan:  May 16, 2020 2:56 PM
Dikemaskini: 6:56 AM

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan mengeluarkan garis panduan dan arahan yang lebih jelas mengenai ujian saringan Covid-19 untuk pekerja sebelum kembali bekerja.

Setiausaha Agungnya J Solomon berkata ini kerana timbul kekeliruan berhubung langkah mewajibkan pekerja menjalani ujian saringan bagi memastikan mereka bebas daripada wabak itu.

"Kerajaan memaklumkan bahawa semua kos saringan perlu dibiayai oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), termasuk pekerja asing.

"Dalam membuat pengumuman itu, kerajaan membayangkan ujian hanya dilakukan sekali sebagai syarat untuk mereka kembali bekerja.

"Namun, jelas ujian sekali sahaja untuk pekerja, terutama pekerja asing yang kini disasarkan untuk pemeriksaan, jauh daripada memadai bagi memastikan tempat kerja bebas daripada penularan Covid-19.

"Pekerja perlu menjalani ujian secara berkala untuk mencapai objektif ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

J Solomon

Menurutnya, kerajaan setakat ini belum menjelaskan tentang perkara itu.

Solomon berkata keperluan ujian berkala itu memandangkan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham berkata pekerja masih boleh dijangkiti wabak melangkaui jangka masa tertentu, walaupun setelah menjalani pemeriksaan, jika mereka terdedah kepada virus berkenaan.

Jika ujian berkala ditetapkan selepas ini, Solomon bertanya sama ada Perkeso akan turut membiayai kosnya.

"MTUC maklum ujian berkala ini akan membelanjakan wang yang banyak, tetapi tetap membantah jika ia juga perlu ditanggung Perkeso," katanya.

Katanya lagi, dana untuk itu boleh diperolehi dengan pelbagai cara lain, dan majikan tidak harus dikecualikan daripada menunaikan tanggungjawab dalam memastikan kesihatan pekerja mereka.

Beliau menggesa syarikat swasta turut membuat sumbangan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Di saat banyak perniagaan dan sektor kembali beroperasi di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), kerajaan perlu memastikan keselamatan pekerja sebagai keutamaan dalam memastikan ekonomi terus beroperasi, katanya lagi.

Terdahulu, kes Covid-19 baru telah dikenal pasti di kalangan pekerja di sebuah tapak pembinaan, dan juga di kalangan pengawal keselamatan di sebuah kompleks membeli-belah.

Pada 13 Mei lalu, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan berkata saringan Covid-19 menerusi Program Saringan Prihatin (PSP) Perkeso akan memberi keutamaan kepada pekerja asing, berkuat kuasa 14 Mei.

Katanya, tumpuan itu akan diberi kepada pekerja asing dalam sektor pembinaan dan industri kawalan yang beroperasi di Selangor serta Kuala Lumpur.

Ujian saringan Covid-19 disediakan secara percuma kepada pekerja bagi majikan yang berdaftar dengan Perkeso, dengan tumpuan kepada pekerja di zon berisiko berlaku penularan wabak itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS