mk-logo
Berita
Mufti baru WP: Zulkifli ucap tahniah pada Dr Luqman
Diterbitkan:  May 16, 2020 12:44 PM
Dikemaskini: 5:03 AM

Bekas mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad mengucapkan tahniah ke atas pensyarah dari Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr Luqman Abdullah, yang dilantik sebagai penggantinya.

“Alhamdulillah, pada pagi ini selepas mesyuarat MKN (Majlis Keselamatan Negara), saya menerima kunjungan Sahibus Samahah Dr Luqman bin Tuan Guru Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan ke-8 yang baru dilantik.

"Majlis serah terima tugas berlangsung dalam suasana yang ringkas dan mahabbah. Sekalung tahniah saya ucapkan kepada Sahibus Samahah Dr Luqman." katanya yang kini menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), di Twitter.

Dalam ciapan tersebut, Zulkifli turut mengongsikan gambar kunjungan Luqman di pejabatnya serta majlis serah tugas antara dua tokoh agama tersebut.

 Pelantikan Luqman sebagai mutfti Wilayah Persekutuan diumumkan menerusi satu hantaran di laman Facebook Universiti Malaya. Pelantikan berkuat kuasa bermula 15 Mei 2020 hingga 14 Mei 2022.

Luqman, 51, berasal dari Kelantan dan lulusan pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) dari Universiti Edinburgh, Scotland pada tahun 2005 dalam bidang undang-undang harta Islam.

Selain itu, beliau juga merupakan anggota panel pakar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan anggota panel Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Menamatkan pengajian peringkat Sarjana Muda di Fakulti Syariah, Akademik Islam Universiti Malaya, antara pendidikan awalnya adalah di Pondok Lubok Tapah yang dikendalikan bapanya sendiri, Allahyarham Abdullah Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Zulkifli memohon maaf jika terdapat kesilapan sepanjang enam tahun memegang jawatan itu, dan mendoakan Luqman dapat melaksanakan tugasnya dengan sebaik mungkin.

(Menjadi mufti) memberi saya pengalaman baru yang amat bermakna...Saya yakin Dr Luqman mampu memimpin institusi fatwa ini yang memberi manfaat besar kepada umat Islam di Wilayah Persekutuan. ," katanya lagi.

Kekosongan jawatan tersebut menjadi perhatian sebelum ini, dengan sejumlah nama daripada beberapa aliran agama diletakkan sebagai calon.

Malah ada petisyen dalam talian bagi mengumpul sokongan untuk calon tertentu, sehingga membangkitkan teguran daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaary yang menyifatkannya sebagai amalan yang tidak sihat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS