Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang menyiasat sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur yang didakwa mengenakan harga penutup hidung dan mulut tiga lapisan melebihi harga maksimum yang ditetapkan.
Pengarahnya KPDNHEP Iskandar Halim Sulaiman berkata pemeriksaan dibuat susulan aduan orang awam yang dikenakan bayaran RM201.60 bagi 18 keping penutup hidung dan mulut tiga lapisan.
"Harga itu terlalu tinggi iaitu bersamaan RM11.20 sekeping berbanding harga maksimum yang ditetapkan sebanyak RM1.50 sekeping," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata beberapa dokumen berkaitan transaksi dan juga penutup hidung dan mulut telah disita daripada hospital swasta berkenaan bagi tujuan siasatan, dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi kesalahan di bawah Seksyen 11 iaitu menjual atau menawarkan untuk menjual barangan harga terkawal (penutup hidung dan mulut tiga lapisan) melebihi harga maksimum.
Beliau juga berharap orang ramai dapat menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP dengan melaporkan sebarang kegiatan yang mencurigakan melalui talian hotline 1-800-886-800 atau 03-8882 6088/ 6245 di Enforcement Command Centre (ECC) atau e-mel ke http://e-aduan.kpdnhep.gov.my.
Sementara itu di Kota Kinabalu, Sabah, Ketua Polis Daerah ACP Habibi Majinji berkata pihaknya menerima 24 aduan mengenai kes penipuan membabitkan penjualan penutup hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman melibatkan kerugian sekitar RM147,329 di daerah Kota Kinabalu sejak penularan Covid-19 di kesan dalam negara.
Beliau berkata kesemua kes penipuan berlaku disebabkan pengadu tertarik dengan tawaran untuk mendapatkan penutup hidung dan mulut di media sosial.
"Pengadu kemudiannya membuat pembayaran secara dalam talian kepada orang-orang yang dianggap sebagai penjual, tetapi apabila barangan yang ditempah tidak sampai dan penjual berkenaan juga tidak dapat dihubungi, pengadu berasa diperdaya dan seterusnya membuat laporan polis," katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata kesemua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
- Bernama
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.